Rahsia Kuasa Kebal Big Mac Yang Tidak Tertewas Dengan Kuprum Cair

Big_mac_v_kuprum

Baru-baru ini, anda mungkin telah melihat satu video Youtube yang telah viral di media sosial tentang burger Big Mac McDonald’s yang tidak cair apabila kuprum cair yang tersangat-sangat panas dituangkan ke atasnya. Anda pasti pelik bagaimana sebuah burger boleh bertahan setelah dituangkan dengan cecair yang berada pada suhu sekitar 1,085 darjah celcius.

Kesan Leidenfrost adalah jawapannya!

Fenomena kesan Leidenfrost ini terjadi apabila cecair (bukan hanya kuprum) bertemu dengan objek lain yang mempunyai perbezaan suhu yang ekstrem di antara duanya. Contohnya, jika lahar gunung berapi dengan tiba-tibanya meletus ke atas air, perbezaan suhu diantaranya itu akan menyebabkan air itu segera menghasilkan wap yang mengelilingi lahar itu. Lapisan wap mengelilingi lahar itu dapat mengasingkan lahar yang panas dengan air — menghalang air itu dari tiba-tiba mendidih. Lapisan wap itu tadi akan lama-kelamaan menghilang apabila suhu air dan lahar itu menjadi seimbang.

Dalam situasi Big Mac ini pula, selapis filem wap terbentuk secara terus apabila cecair panas kuprum itu bertemu dengan permukaan burger yang lebih sejuk dan sedikit lembab. Ini menyebabkan cecair yang dituangkan itu ‘terpantul’ kembali ke atas dan menjauhi permukaan buger itu. Anda tidak akan dapat kesan yang sama jika anda cuba tuangkan air panas yang mendidih ke atas burger itu kerana perbezaan suhu diantaranya tidak cukup untuk menghasilkan kesan Leidenfrost.

Jadi, tiada apa yang ‘istimewa’ atau ‘merbahaya’ (bergantung pada pandangan anda tentang makanan segera atau restoran McDonald’s) tentang burger Big Mac ini. Sains adalah jawapannya. Walau bagaimanapun, video oleh pengguna Youtube Tito4re itu adalah satu video ‘eksperimentasi sains’ yang sangat menarik!

Sumber : IFL Science