Dengar Bunyi Dari Kawasan Paling Dalam Di Lautan

jurang_mariana
Lakaran Jurang Mariana oleh NOAA.

Pada kedalaman lebih dari 7 batu, Jurang Mariana yang terletak di bahagian barat Lautan Pasifik adalah kawasan yang paling dalam di lautan bumi. Agensi kerajaan dari Amerika Syarikat (NOAA dan US Coast Guard) bersama-sama dengan Universiti Oregon State pada bulan Julai 2015 telah menghantar sebuah hydrofon yang dilitupi oleh logam titanium ke dalam jurang itu untuk merakamkan bunyi di sana. Rakaman-rakaman bunyi itu telah pun dimuat naik pada laman web NOAA pada minggu lepas.

Anda boleh mendengarnya di bawah;

Bunyi yang dipercayai sebagai seruan paus bergigi atau ikan lumba-lumba (dolphin).

Bunyi sayup dari paus jenis baleen dari jauh.

Bunyi kipas enjin kapal dari berbatu jauhnya yang sedang menghampiri.

Bunyi gempa bumi bermagnitud 5.0 di dalam kerak lautan berhampiran dengan Guam.

Untuk melindungi hydrofon itu dari rosak akibat tekanan yang boleh mencapai sehingga sekitar 1,100 kg/cm2 di jurang itu, hydrofon tersebut telah diturunkan ke bawah dengan kelajuan lebih rendah dari 5 meter sesaat. Hyrdofon itu kemudiannya dibiarkan untuk merakam di sana selama 23 hari.

Penyelidik-penyelidik itu bercadang untuk menjalankan satu lagi aktiviti rakaman audio di Jurang Mariana pada tahun 2017 nanti. Tetapi kali ini, mereka ingin merakam bunyi dengan lebih lama dan juga membawa kamera untuk menangkap gambar hidupan-hidupan yang menghasilkan bunyi-bunyi yang dirakamkan itu.

Sumber : PopSci, NOAA