Senaman Dapat Melambatkan Pertumbuhan Kanser Di Dalam Tikus

mouse-hweel
Kredit gambar Rene Schwietzke melalui Flickr

Amalkan senaman dengan kerap untuk badan yang sihat. Berdasarkan hasil kajian terbaru, senaman yang kerap juga mungkin akan dapat melawan kanser. Saintis dari Denmark melaporkan bahawa tikus ujian mereka yang berlari sejauh 4 hingga 7 kilometer setiap malam dapat melambatkan pertumbuhan kanser di dalamnya.

Senaman itu dilaporkan dapat meningkatan sistem imun mereka, menghalang ketumbuhan baru dari muncul dan melambatkan pembesaran ketumbuhan yang sedia ada sebanyak 60 peratus. Ini dikatakan berlaku kerana pengeluaran adrenalin semasa aktiviti senaman menggalakkan sistem imun tikus itu menghasilkan lebih banyak sel melawan kanser semula jadi ke dalam salur darah, yang kemudiannya akan diarahkan ke ketumbuhan berkanser oleh sejenis bahan yang dipanggil interleukin-6 (yang juga dikerluarkan semasa bersenam).

Saintis kajian tersebut mendapati bahawa suntikan adrenalin juga dapat memberi kesan yang sama terhadap tikus dengan menambahkan penghasilan bilangan sel pembunuh semula jadi di dalamnya.

“Kita sudah tahu bahawa senaman mempunyai kesan terhadap aktiviti sel pembunuh (kanser) semula jadi, tetapi ini adalah pertama kali sesiapa dapat menunjukkan pembabitannya (senaman) secara terus dalam membantu mereka (sel pembunuh) menawan ketumbuhan,” kata Lee Jones dari Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering di New York yang tidak terlibat dengan kajian ini.

Para saintis itu kini ingin melihat sama ada mereka dapat mencapai hasil yang sama dalam jangka masa yang lebih panjang serta mencari bagaimana untuk menggabungkan senaman itu dengan rawatan kanser sedia ada yang lain untuk pesakit manusia.

Walaupun kajian belum lagi dapat membuktikan hasil yang sama bagi manusia, tetapi eloklah kita mula amalkan senaman dengan kerap (bagi yang belum lagi, seperti penulis ini) untuk badan yang lebih sihat dan dapat melawan kanser. Jom bersenam!

Sumber : Science Alert, Cell Metabolism