Peta Permukaan Marikh Yang Direka Untuk Orang Awam

Peta-marikh-os

Ordnance Survey, agensi pemetaan rasmi kerajaan British buat pertama kalinya telah menghasilkan peta permukaan yang bukan dari bumi. Menggunakan data dari NASA, mereka telah menghasilkan peta permukaan planet Marikh yang mudah difahami oleh orang ramai.

Peta ini — yang anda boleh muat turun di laman Flickr mereka sekarang, meliputi kawasan permukaan Marikh seluas 3,672 x 2,271 kilometer pada skala 1 hingga 4 juta dan mungkin boleh digunakan untuk membantu menerangkan misi ke Marikh pada masa depan untuk kegunaan orang ramai. Anda boleh melihat lokasi pendaratan Mars Pathfinder di barat laut Ares Vallis dan robot perayau Opportunity di timur Margaritifer Terra di dalam peta ini.

Apa yang berbeza dengan peta planetari lain yang pernah dihasilkan berbanding peta ini adalah peta planetari yang lain direka semata-mata untuk para saintis sahaja. “Kami diminta untuk menghasilkan peta bagi satu kawasan Marikh di dalam cara OS kerana peta kami adalah mudah untuk difahami dan membentangkan visualisasi yang menarik, dan kerana ini kami boleh membayangkan kegunaannya dalam perancangan misi dan menyampaikan informasi tentang misi kepada orang ramai,” kata David Henderson, Pengarah Produk agensi tersebut.

full-map-marikh-os

Warna merah permukaan Marikh dalam peta ini jika anda perhatikan adalah sedikit cair berbanding gambar-gambar permukaan planet Marikh lain yang anda pernah lihat. Ini adalah sengaja dilakukan supaya kontur permukaan dapat dilihat dengan lebih mudah dan teks di atas peta lebih mudah dibaca. Peta di bumi pun selalunya tidak memberi warna yang sebenar kerana sebab yang serupa, menurut Chris Weeson, salah seorang konsultan yang bekerja dalam projek pemetaan ini.

Anda bolehlah ke laman Flickr mereka untuk memuat turun sendiri peta tersebut. Agak menarik sebagai poster di dinding.

Sumber : Science Alert, Ordnance Survey, Flickr