Pencetak 3D Ini Boleh Mencetak Organ Yang Boleh Hidup

implan-telinga

Pencetak 3D yang boleh menghasilkan organ dan tisu bukanlah suatu perkara yang baru. Apa yang berbeza dengan kajian terbaru ini adalah tisu atau organ yang dicetak itu didapati berjaya hidup di dalam subjek ujian — tikus makmal. Pencetak 3D itu boleh menghasilkan telinga, tulang dan struktur otot yang mampu hidup dalam tikus, arnab serta manusia.

Setiap lapisan yang dicetak oleh pencetak 3D itu untuk menghasilkan sesuatu implan terdiri daripada gel yang mengandungi sel dan bahan terbiodegredasi yang seakan-akan plastik. Pencetak itu kemudiannya menambah satu lapisan polimer sementara menyaluti implan yang siap dicetak untuk membantu seluruh struktur implan itu kukuh sewaktu pemindahan organ. Proses percetakannya juga telah dihalusi untuk memastikan supaya sel kekal hidup sehingga pembedahan dilakukan. Setelah implan itu dipindahkan ke dalam sesuatu organisma, bahan seperti plastik yang dicetak itu tadi akan terbiodegredasi. Sel-sel yang dicetak itu pula dalam masa yang sama akan merembeskan matriks sokongan yang akan membantu mengekalkan bentuk implan tersebut. Sel-sel tersebut akhirnya akan dapat menyusun semula diri mereka dengan cara yang cukup untuk tidak memerlukan bahan asing yang menyokong bentuk implan tersebut.

telinga-implan-cetak3d

Dalam kajian yang dilakukan, telinga yang telah dicetak yang dipindahkan ke dalam seekor tikus didapati masih mengekalkan bentuknya dan tisu yang sepatutnya telah terbentuk di sekelilingnya selepas dua bulan. Pemindahan sturktur otot yang dicetak pula didapati telah mendorong pembentukan saraf di dalam tikus selepas 2 minggu selesai pembedahan. Implan tulang pula yang telah dicetak menggunakan stem sel manusia dan dipindahkan ke dalam tikus didapati mencetuskan pembentukan sistem saluran darah selepas 5 bulan.

Walaupun banyak kerja yang masih perlu dilakukan sebelum boleh diuji ke atas manusia, tetapi apa yang telah dicapai oleh kajian yang dijalankan oleh Sekolah Perubatan Wake Forest di Amerika Syarikat ini adalah satu yang sangat memberangsangkan.

“Anda akan dapat melihat lebih banyak kemajuan yang menarik pada tahun depan atau dua lagi yang dapat mendorong (bidang kajian) ini dari alam sains fiksyen ke dalam sesuatu yang lebih dekat dengan memberi kesan kepada pesakit,” kata Adam Feinberg dari Universiti Carnegie Mellon yang tidak terlibat dengan kajian ini.

Sumber : The Verge, Nature Biotechnology