Diatom, Si Kecil Yang Sangat Kuat

diatom

Apa itu diatom? Diatom adalah sejenis organisma yang terdiri dari satu sel sahaja dan tergolong dalam kumpulan alga di dalam laut. Ia mempunyai cengkerang berbentuk silinder yang diperbuat dari silika dengan saiz keseluruhannya pada sekitar 30 sehingga 100 seperjuta milimeter.

Berdasarkan satu kajian terbaru dari Caltech di Amerika Syarikat, cengkerang diatom ini didapati mempunyai kekuatan tertumpu tertinggi (highest specific strength) — kekuatan dimana sesuatu struktur patah berdasarkan dengan ketumpatannya —  berbanding bahan biologikal lain yang diketahui termasuk, tulang, tanduk dan gigi.

Apa yang unik tentang cengkerang diatom ini adalah lubang-lubang kecil bercorak seperti sarang lebah (honeycomb) di sekelilingnya. Julia Greer, seorang professor dari Bahagian Kejuruteraan dan Sains Gunaan di Caltech mencadangkan bahawa lubang-lubang kecil itu membantu menyekat retakan dari tersebar ke seluruh cengkerang apabila dikenakan tekanan. “Silika adalah bahan yang kuat tetapi rapuh. Sebagai contoh, apabila anda jatuhkan sekeping gelas, ia akan hancur berkecai. Tetapi, membentukkan bahan ini ke rekaan kompleks seperti cengkerang diatom boleh menghasilkan struktur yang mempunyai daya tahan (yang tinggi) terhadap kerosakan. Kehadiran lubang-lubang itu menghalang penumpuan tekanan ke atas struktur itu,” kata Julia Greer.

diatom-mikro

Kumpulan penyelidik itu bercadang untuk menggunakan prinsip rekaan dari diatom itu untuk menghasilkan struktur berinspirasikan biologi yang lebih kuat. Hasil kajian ini telah diterbitkan di Proceedings of the National Academy of Science.

Sumber : Engadget, Caltech, CaltechAUTHORS