VIDEO : NASA Muat Naik Video 360 Darjah Planet Marikh Ke YouTube

curiosity-360

Satu video 360 darjah pemandangan di Planet Marikh dari perspektif robot perayau Curiosity milik NASA telah dimuat naik ke Facebook pada sekitar dua minggu yang lepas. Video 360 darjah untuk realiti maya (VR) itu walau bagaimanapun adalah agak pelik dengan efek fish-eye pada gambar video tersebut. Semalam, NASA telah memuat naik video 360 darjah terbaru yang lebih berkualiti ke laman YouTube pula. Anda boleh memusingkan pandangan di dalam video itu sama ada dengan menekan butang di bahagian atas kanan video tersebut ataupun menggunakan gabungan telefon pintar anda, Google Cardboard dan aplikasi YouTube untuk pemandangan secara realiti maya.

Gambar-gambar yang digunakan untuk menghasilkan video 360 darjah ini ditangkap oleh Curiosity pada 18 December 2015 menggunakan kamera Mastcam yang terletak di atas tangan robot tersebut. Apa yang anda boleh lihat dalam video tersebut adalah Bukit Pasir Namib, yang merupakan sebahagian dari Bukit Pasir Bagnold. Bukit Pasir Bagnold itu pula memanjang di sebelah barat daya Gunung Sharp. Sebahagian dari Gunung Sharp boleh juga dilihat di dalam video itu.

Saintis NASA percaya bahawa bukit pasir tersebut boleh bergerak sebanyak satu meter pada setiap satu tahun waktu bumi berdasarkan analisa mereka terhadap video 360 darjah tersebut.

Dengan cuti yang panjang minggu ini, terutamanya bagi yang masih bersekolah dan yang menyambung cuti sepanjang minggu ini, video 360 darjah planet Marikh ini boleh dijadikan alasan yang menarik untuk menjadikan aktiviti membuat Google Cardboard secara DIY sebagai salah satu aktiviti di waktu cuti ini. Banyak juga video lain yang menarik yang anda boleh lihat secara realiti maya di aplikasi YouTube di telefon pintar anda menggunakan Google Cardboard selain video ini. Jom pergi ke Marikh!

Sumber : Engadget, NASA JPL (Youtube)