Rumput Plastik Di Atas Bumbung Ini Boleh Menjanakan Elektrik

rumput-plastik-elektrik

Teknologi hijau di atas bumbung rumah bukanlah sesuatu yang baru. Panel solar adalah antara yang paling biasa digunakan di atas bumbung rumah sama ada untuk memanaskan air untuk mandi atau menjana tenaga elektrik untuk digunakan sendiri. Teknologi yang dibangunkan bersama oleh saintis dari China dan Amerika Syarikat ini pula bukan sahaja boleh menjanakan tenaga elektrik, tapi boleh menghijaukan bumbung rumah anda sekali — rumput plastik yang boleh menjanakan tenaga elektrik apabila ditiup oleh angin.

Dibangunkan bersama oleh Southwest Jiaotong University dari China dan Georgia Institute of Technology dari Amerika Syarikat, teknologi yang diberi nama penjana turboelektrik (TENG) ini menjanakan tenaga elektrik apabila sebelah permukaannya yang disalut dengan wayar-nano bertemu dengan sebelah lagi permukaan helaian rumput plastik berhampirannya yang disalut dengan indium tin oksida setelah ditiup oleh angin. Penjanaan elektrik sebegini adalah sama dengan prinsip yang menyebabkan elektrik statik. Kumpulan saintis itu mengatakan bahawa TENG ini sesuai digunakan di kawasan di mana anginnya selalu berubah arah dan juga di lokasi yang tidak sesuai untuk meletakkan kincir angin.

Ujian yang mereka lakukan berjaya menghidupkan 60 lampu LED secara serentak apabila kipas elektrik ditiupkan pada 60 jalur rumput plastik yang diletakkan di atas sebuah model bumbung. Sistem ini dilaporkan boleh menjanakan elektrik dengan angin selemah 21 kilometer sejam dan secara efisen dengan¬†angin selaju 100 kilometer sejam. Berdasarkan kiraan, penyelidik itu menganggarkan bumbung seluas 300 meter persegi yang menggunakan rumput plastik itu boleh dapat menjanakan tenaga elektrik untuk satu rumah — atau bersamaan dengan 7.1 kilowatt.

Antara masalah utama yang dihadapi saintis-saintis ini dalam membawa teknologi ini untuk kegunaan awam adalah teknik pembekalan tenaga yang dijanakan secara efisen dan yang paling kritikal, pengganti kepada indium tin oksida — bahan yang toksik dan mahal. “Konsep ini adalah sangat berpotensi, tetapi untuk merealisasikannya bergantung kepada peralihan ke bahan yang lain,” kata penyelidik Fernando Galembeck pada New Scientist.

Sumber : Science Alert, New Scientis