Nombor Sepanjang 22 Juta Digit Ini Adalah Nombor Perdana Terbesar Yang Dijumpai Setakat Ini

spiral-wolfram
Lingkaran Uram seperti di atas adalah antara corak yang boleh dihasilkan menggunakan nombor perdana.

Masihkah anda ingat apa itu nombor perdana? Bagi yang sudah lupa, nombor perdana adalah nombor yang hanya boleh dibahagi dengan 1 dan nombor itu sendiri sahaja — sebagai contoh, 2, 3, 5, 7, 9, 11, 13 dan 17.

Satu komputer di Missouri, Amerika Syarikat baru-baru ini telah menjumpai nombor perdana yang terbesar setakat ini — 274,207,281– 1. Nombor itu mengandungi 22 juta digit, 5 juta digit lebih panjang berbanding nombor perdana terpanjang yang dijumpai sebelum ini pada Januari 2013.

Mencari nombor perdana yang tertinggi adalah antara ‘misi pencarian’ ahli matematik sejak sekian lama lagi. Pada hari ini, nombor perdana juga digunakan untuk menguji kuasa pengkomputeran.

Nombor perdana yang dituliskan di atas adalah dipanggil sebagai nombor perdana Mersenne, iaitu Mn = 2n-1, dimana ‘n‘ adalah satu integer. Ia adalah jenis nombor perdana besar yang paling senang dicari dan mempunyai cara yang cepat untuk diuji ‘keperdanaannya’.

Great Internet Mersenne Prime Search (GIMPS) adalah projek yang bertanggungjawab menjumpai nombor perdana tersebut. Projek GIMPS telah bermula sejak 20 tahun yang lalu untuk mencari nombor perdana menggunakan jaringan ribuan komputer di seluruh dunia. Sehingga sekarang, GIMPS telah berjaya menjumpai sebanyak 15 nombor perdana Mersene terbesar. Nombor perdana itu sebenarnya telah dijumpai oleh beberapa komputer yang menjalani program GIMPS di University of Central Missouri pada bulan September 2015 yang lalu, tetapi penemuan itu hanya disedari baru-baru ini semasa menjalankan penyelenggaraan rutin.

Selain mencari nombor perdana, program prime95 oleh GIMPS telah berjaya menemui satu ralat pada Skylake — cip pemprosesan terbaru oleh Intel, pada awal bulan ini. Prime95 juga telah menjumpai masalah peranti keras (hardware) di dalam beberapa PC individu.

Nombor perdana terbesar yang seterusnya akan terus dicari lagi. Curtis Copper, individu yang menjumpai nombor perdana terbesar terbaru ini akan menerima hadiah sebanyak USD3,000 kerana penemuan ini. USD150,000 pula adalah hadiah seterusnya bagi sesiapa yang berjaya menjumpai nombor perdana 100 juta digit yang pertama. Anda berminat?

Sumber : Science Alert, The Guardian