Bunga Angkasa Lepas

zinnia_angkasa

Bunga di angkasa lepas? Ya!

Angkasawan di stesen angkasa antrabangsa (ISS) telah berjaya menumbuhkan pokok bunga zinnia sehingga bunganya mengembang. Gambar bunga zinnia di atas adalah gambar dari ISS yang ditangkap oleh angkasawan NASA Scott Kelly dan dikongsikan pada 16 Januari 2016 yang lepas melalui akaun Twitternya. Ini adalah bunga pertama yang berjaya ditumbuhkan sehingga bunganya mengembang di angkasa lepas.

Bunga zinnia itu telah mula ditumbuhkan oleh angkasawan di ISS pada lewat tahun lepas. Tetapi, seawal dua minggu selepas itu, mereka mendapati bahawa bunga itu mengalami simptom kelembapan terlampau dan peredaran udara yang terhad. Sumbu tumbuhan (untuk menyimpan benihnya) itu pula didapati bocor dan daunnya bengkok dan bergulung secara tidak normal. Sewaktu sekitar krismas, kulat didapati mula tumbuh di pokok bunga itu.

Angkasawan Kelly kemudiannya telah diberi kebenaran membuat keputusan sendiri untuk menyiram tumbuhan itu tanpa mengikut jadual yang telah ditetapkan NASA sebelum itu. Walaupun hampir semua tumbuhan itu mati, satu daripadanya akhirnya berjaya ditumbuhkan sehingga bunganya mengembang.

Sampel tumbuhan yang mati serta kulat yang tumbuh itu tadi akan dihantar pulang ke bumi untuk dikaji supaya kita dapat tahu perbezaan antara menumbuhkan tumbuhan di angkasa dan di bumi.

Kenapa bunga zinnia yang dipilih untuk projek ini? Ini kerana tumbuhan bunga zinnia ini mempunyai tempoh penumbuhan yang lebih panjang dari salad romain — sayur yang telah ditumbuhkan dan di makan oleh angkasawan di ISS sebelum ini. Ia menjadikannya satu langkah yang penting sebelum cuba menumbuhkan tomato di angkasa lepas pada masa depan. Paling awal NASA bercadang untuk menghantar benih yang seterusnya ke angkasa lepas adalah sekitar tahun 2018.

Sumber : Engadget, NASA