Terlalu Banyak Tidur Dan Rehat Sama Buruk Dengan Merokok & Minum Alkohol

sleeping
Kredit Wikimedia Commons.

Menurut satu kajian terbaru dari Australia, orang yang menghabiskan harinya dengan terlalu banyak rehat dan tidur berkemungkinan akan mati awal, sama seperti orang yang merokok dan meminum arak terlalu banyak. Kajian yang dilakukan oleh Sax Institute itu melibatkan lebih dari 230,000 warga Australia yang berumur 45 tahun dan ke atas. Aktiviti tidak sihat setiap peserta seperti merokok, minum alkohol, pemakanan tidak sihat, tidak aktif secara fizikal dan terlalu banyak tidur (tidur lebih dari 9 jam satu malam) dikira dalam kajian itu. Kajian itu telah dijalankan selama enam tahun.

Orang yang tidak aktif didapati 1.6 kali lebih berkemungkinan untuk mati berbanding yang aktif secara fizikal — orang yang menjalankan lebih dari 150 minit aktiviti fizikal seminggu dikira sebagai aktif dalam kajian ini. Apabila orang yang tidak aktif secara fizikal ditambahkan lagi dengan waktu tidur yang panjang dan waktu duduk yang berlebihan, risiko kematiannya pula bertambah sebanyak empat kali ganda berbanding yang tidak aktif, terlalu banyak tidur, tetapi ada melakukan sedikit riadah.

Penyelidik walau bagaimanapun mengakui bahawa faktor lain seperti gaya hidup jangka panjang dan keadaan persekitaran yang mungkin boleh mempengaruhi kadar kematian tidak diambil kira dalam kajian ini. Interpretasi gaya hidup yang dilaporkan sendiri oleh setiap peserta juga mungkin berlainan, yang mungkin mempengaruhi hasil kajian. Tetapi apa yang dapat dilihat dari kajian ini, menggabungkan tingkah laku berisiko bersama boleh meningkatkan lagi kemungkinan untuk mati lebih awal.

Jadi, sempena bermulanya tahun yang baru ini, marilah kita sama-sama berubah ke gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.

Sumber : Live Science, PLOS Medicine