Jari Robotik Untuk Menguji Kualiti Sentuhan Produk

syntouch-biotac
Tangan robotik dengan sensor untuk mengesan sentuhan di hujung jari yang dinamakan Biotac. Kredit SynTouch melalui Wired.

Rasa sentuhan sesuatu produk itu adalah salah satu aspek kualiti yang mungkin boleh menjadi faktor penentu seseorang pembeli untuk memilih sesuatu produk itu daripada yang lain – kelembutan permukaan kain sarung bantal contohnya. Walau bagaimanapun, kualiti rasa sentuhan produk adalah sesuatu yang agak subjektif dan tiada ‘kayu pengukur’ yang tetap untuk dijadikan perbandingan yang objektif. SynTouch ingin mengubah keadaan ini dengan tangan robotiknya yang mempunyai sensor di hujung jarinya yang boleh mengesan suhu, tekanan sentuhan dan getaran — sama seperti hujung jari manusia. Dalam satu kajian yang dijalankan, jari robotik itu berjaya membezakan rasa sentuhan pelbagai bahan dengan lebih baik berbanding manusia yang ditutupkan matanya.

Syntouch juga telah membangunkan satu katalog rasa sentuhan lebih dari 500 jenis bahan-bahan yang terdiri daripada kain sintetik sehingga bahan semula jadi seperti batu — mereka menamakan katalog ini sebagai ‘Standard Syntouch’. Dengan adanya standard kualiti rasa sentuhan, kerja seperti mereka produk ataupun menguji kualiti pembuatan produk adalah lebih objektif dan konsisten.

Dalam proses rekaan produk sebagai contoh, pereka selalunya perlu meminta beberapa sampel daripada pembekal untuk memilih bahan yang sesuai untuk produk yang direka dengan spesifikasi rekaan yang tertentu. Pembekal kadang kala tidak memberi sampel dengan spesifikasi rasa sentuhan yang diminta oleh pereka dengan betul kerana perbezaan pemahaman rasa sentuhan yang berbeza diantara pereka dan pembekal. Proses ini akan jadi terlebih lama dari yang sepatutnya kerana perkara sebegini. Dengan adanya satu standard untuk kualiti rasa sentuhan, perkara sebegitu mungkin dapat dielakkan. Penguji produk semasa proses pembuatan (manufacturing) juga lebih senang memastikan produk yang dihasilkan mempunyai kualiti rasa sentuhan yang telah ditetapkan oleh pereka dengan lebih tepat.

Sumber : PopSci, Wired