Beg Yang Boleh Menyekat Letupan Di Dalam Pesawat

fly-bag
Beg kali bom yang diberi nama Fly-Bag. Kredit Universiti Sheffield.

Kejadian seperti kemalangan pesawat awam Rusia pada Oktober lepas yang disyaki terjadi akibat letupan bom di dalam pesawat mungkin dapat dibendung pada masa depan dengan hasil ciptaan terbaru ini. Fly-Bag yang dibangunkan oleh saintis dari Universiti Sheffield di UK ini boleh menyekat letupan bom di dalamnya dari merosakkan persekitaran di luar beg tersebut.

Walaupun pelbagai langkah keselamatan yang ketat telah dijalankan di setiap lapangan terbang untuk memastikan barang yang tidak diingini seperti bom dari memasuki pesawat, sentiasa akan ada kemungkinan seorang yang berjaya membawa bom masuk. Dengan Fly-Bag, segala beg yang didaftar masuk ke dalam ruang kargo pesawat boleh disimpan di dalam beg kalis bom ini.

Ujian yang dijalankan ke atas beg ini pada awal tahun ini menunjukkan bahawa beg ini dapat menyekat letupan dari bom di dalamnya. Bom dengan kekuatan yang sama tanpa Fly-Bag itu pula telah menghasilkan satu lubang pada fiuslaj pesawat seperti gambar di bawah ini.

fly-bag-ujian
Letupan tanpa menggunakan Fly-Bag menghasilkan lubang pada fiuslaj pesawat. Kredit Universiti Sheffield.

“Kunci kepada konsep (beg kalis bom ini) adalah kulit lapisan beg yang fleksibel dan ini menambah kepada ketahanannya semasa menyekat daya letupan dan segala serpihan yang dihasilkan (oleh letupan). Ini membantu untuk memastikan bahawa Fly-Bag bertindak sebagai membran, bukannya sebagai bekas tegar yang mungkin hancur apabila dikenakan impak,” kata Andy Tyas, salah seorang penyelidik kajian ini.

Beg kalis bom ini mungkin boleh diwajibkan kepada semua pesawat awam satu hari nanti ataupun hanya digunakan sebagai tindak balas pada sesuatu ancaman. Beg ini juga telah dicadangkan boleh digunakan di dalam ruang kabin — krew kabin boleh menyimpan sesuatu yang mereka rasakan sebagai ancaman atau membahayakan penumpang ke dalam Fly-Bag ini.

Sumber : Science Alert, University Sheffield, Reuters