Robot Ini Boleh Bergerak Dengan Kawalan Minda Pesakit Lumpuh

robot-minda-EPFL

Beberapa penyelidik sebelum ini telah berjaya menghasilkan teknologi untuk menggerakkan anggota badan palsu robotik seperti tangan dan kaki dengan dikawal oleh minda. Tetapi kebanyakannya adalah invasif (memerlukan pembedahan). Penyelidik dari Itali dan Switzerland baru-baru ini berjaya membangunkan sejenis robot yang boleh bergerak dengan kawalan minda dan tanpa memerlukan apa-apa jenis pembedahan. Anda hanya perlu memakai topi yang dilengkapi dengan EEG dan membayangkan menggerakkan tangan atau kaki anda sahaja — robot tersebut akan bergerak menurut arahan minda anda malah boleh mengelak halangan dengan sendirinya.

Robot yang secara asanya hanyalah sebuah laptop yang diletakkan di atas sebuah platform beroda itu mempunyai perisian kawalan khas yang boleh memutuskan sendiri cara terbaik untuk berpusing dan bergerak supaya sampai ke destinasi yang telah diarahkan. Ia juga mempunyai sembilan sensor infra-merah untuk mengesan dan mengelak halangan. Ujian yang telah dijalankan ke atas orang yang lumpuh dan tidak lumpuh menunjukkan masa yang lebih kurang sama diperlukan untuk belajar mengawal robot itu dengan sempurna.

Teknologi ini masih lagi diperingkat awal dan akan mengambil beberapa tahun sebelum dapat digunakan secara meluas. “Jika kita bangunkan sistem yang boleh digunakan dengan senang oleh semua orang, sama seperti sebuah telefon bimbit, ia akan membolehkan teknologi perantaraan otak-komputer ditolak keluar dengan lebih meluas,” kata Robert Leeb, seorang saintis dari Institut Teknologi Persekutuan Switzerland yang bekerja di dalam projek ini.

Sumber : Engadget, MIT Tech Review, EPFL