Ada Bakteria Dalam Perut Kita Yang Mengawal Selera Makan Kita

nasi-ambeng

Ya, seperti kata tajuk di atas, kajian terbaru menunjukkan bahawa ada bakteria di dalam perut yang mengeluarkan sejenis protein yang ‘mengenyangkan’ kita sekitar 20 minit selepas makan. Kesimpulan ini dicapai oleh sekumpulan saintis dari Universiti Rouen di Perancis semasa mereka mengkaji protein yang dihasilkan oleh sejenis bakteria E. Coli yang hidup di dalam perut tikus makmal. Selepas sekitar 20 minit tikus makmal itu diberi makmal, bakteria E. Coli di dalam perut tikus tersebut didapat mengeluarkan beberapa jenis protein yang tidak dikeluarkan sebelum itu — manusia selalunya berasa kenyang pada sekitar 20 minit selepas makan.

Saintis itu mendapati protein-protein itu dikeluarkan apabila bakteria E. Coli itu menerima nutrien yang secukupnya dari makanan yang dimakan oleh tuan badan yang dihuninya. Daripada pelbagai protein yang dikeluarkan oleh E. Coli itu, sejenis protein yang dipanggil ClpB telah diasingkan oleh saintis itu. Protein itu kemudiannya disuntikkan ke dalam tikus untuk melihat sama ada ia akan mempengaruhi selera tikus itu atau tidak. Hasilnya? Selera tikus didapati berkurangan dan tikus itu akan kurang makan setelah disuntik dengan protein ClpB itu.

800px-E_coli_at_10000x
Bakteria E. Coli. Kredit Wikimedia Commons.

Antara potensi aplikasi dari penemuan ini? Pesakit obesiti mungkin boleh dirawat dengan menyuntik protein ClpB tambahan ke dalam badannya untuk mengawal selera makannya. Jadi, selepas makan nanti, bila perut anda sudah rasa kenyang, ingatlah bahawa ini kerana bakteria E. Coli dalam perut anda sudah kenyang.

Sumber : Science AlertCell Metabolism