Rangkaian Satelit Seluruh Dunia Untuk Kesan Kebakaran Hutan Dari Awal

kebakaran_hutan

Kebakaran hutan pada skala besar yang menyebabkan jerebu boleh dikatakan sebagai fenomena tahunan bagi negara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Usaha memadam kebakaran hutan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutamanya apabila kebakaran telahpun merebak luas. NASA ingin membantu dengan sistem mereka yang boleh mengesan kebakaran hutan dari awal tak kira di mana di seluruh dunia. Sistem yang bernama FireSat ini akan terdiri dari lebih 200 sensor pengimejan haba infra-merah di atas satelit yang akan ditempatkan di sekeliling bumi. Kesemua sensor itu boleh mengesan kebakaran yang telah merebak seluas 10 hingga 15 meter (35-50 kaki) dalam masa 15 minit permulaanya.

Animasi ini menunjukkan bagaimana rangkaian satelit dengan sensor haba itu mengesan kebakaran. Kredit Quadra Pi R2E.

Satelit untuk mencari kebakaran yang ada sekarang hanya boleh mengesan kebakaran sebanyak dua kali sehari. Tetapi dengan FireSat, gambar berserta latitud dan longitud kejadian kebakaran boleh dihantar kepada pihak bertanggungjawab pada setiap minit. Dengan ini, keadaan sebenar kebakaran boleh dipantau oleh pihak bertanggungjawab dalam hampir masa-nyata. Rangkaian FireSat oleh NASA yang boleh juga digunakan untuk memantau letupan dan tumpahan minyak ini dianggarkan akan mula beroperasi pada bulan Jun 2018.

Sumber : PopSci, NASA JPL