Sperma Berenang Lebih Laju Apabila Menyusur Seperti Ular

Mengenal pasti sperma yang berkualiti adalah salah satu langkah yang penting dalam proses persenyawaan in-vitro (IVF). Bagi yang tidak tahu, IVF adalah satu teknik persenyawaan telur wanita dengan sperma lelaki di luar rahim bagi pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan anak. Memahami pergerakan sperma boleh membantu mencari sperma yang paling berkualiti. Baru-baru ini, buat pertama kalinya sperma dilihat berenang secara menyusur ke kiri dan ke kanan seperti ular di sepanjang permukaan. Renangan sperma secara menyusur juga didapati adalah 50 peratus lebih laju berbanding cara renangan sperma secara berputar dalam tiga-dimensi seperti skrew (cara berenang sperma yang telah diketahui selama ini).

Untuk melihat pergerakan menyusur itu,  jurutera dari Universiti Toronto di Kanada yang menemui pergerakan itu menggunakan teknik mikroskopi Total Internal Reflection Fluorescence (TIRF), satu teknik yang hanya menunjukkan apa yang berlaku di dalam lingkungan 100 nanometer di permukaan rata. Hasil pemerhatian dan pengiraan menunjukkan renangan secara menyusur adalah pergerakan yang lebih efektif apabila sperma sedang berenang melalui cecair yang lebih pekat dan likat. Terdapat bahagian-bahagian yang tertentu di dalam saluran pembiakan wanita yang mempunyai persekitaran yang pekat dan likat.

Seterusnya, jurutera tersebut ingin mengenal pasti sama ada pergerakan menyusur ini dilakukan oleh semua atau hanya sebahagian daripada jutaan sperma dari setiap ejakulasi. Jika teknik menyusur adalah terhad kepada sebahagian sperma, mereka perlu menentukan sama ada kebolehan menyusur berkait rapat dengan kualiti yang diingini. Mereka memanggil ujian yang dilakukan untuk kajian ini sebagai “Olimpik Sperma”.

Sumber : PopSci, U of T