Sistem Osmosis Berbalik Solar Untuk Air Bersih Di Perkampungan Terpencil

MIT-PVRO
Penduduk kampung sedang mengisi air bersih ke dalam cawan dari sistem PVRO itu. Kredit Leah Kelly/MIT.

Air yang bersih untuk diminum bukanlah satu kemudahan yang dinikmati oleh semua manusia di dunia ini terutamanya bagi yang tinggal di negara mundur dan perkampungan yang terpencil. Usaha dari penyelidik di Institut Teknologi¬†Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat ini boleh membantu untuk mengubah keadaan ini. Mereka telah membina satu sistem osmosis berbalik yang dikuasai oleh tenaga solar dan menempatkannya di La Mancalona, sebuah kampung terpencil di dalam hutan semenanjung Yucatan, Mexico. Sistem sebesar sebuah pondok kecil ini mampu menghasilkan 1,000 liter air bersih sehari — cukup untuk bekalan sebuah kampung dengan sekitar 450 orang penduduk.

Disebabkan air di dalam tanah kampung La Mancalona itu agak masin, mereka menggunakan air hujan yang ditadah dan air payau dari perigi untuk menghasilkan air bersih osmosis berbalik. Untuk kegunaan jangka masa panjang, penduduk kampung juga telah dilatih untuk menyeleggara sistem itu sendiri. Penduduk kampung mampu menukar sendiri lampu ultra-ungu dan penapis air yang menguji kualiti air, dan juga menggantikan bateri dan mendapatkan alat ganti yang diperlukan.

MIT-PVRO-train
Kumpulan dari MIT sedang melatih penduduk kampung untuk menyelenggara sistem PVRO itu. Kredit Leah Kelly/MIT.

Untuk kos penyelegaraan sistem yang dinamakan PVRO itu, setiap botol air bersih sebanyak 20 liter dijual pada harga 5 peso setiap satunya (sekitar RM1.30). Ini adalah jauh berbeza dengan sebelum itu dimana mereka perlu pergi ke bandar terdekat pada jarak lebih kurang satu jam untuk membeli sebotol air bersih yang berharga 25 peso (sekitar RM6.50).

Disebabkan kejayaan projek yang dijalankan di kampung La Mancalona ini, penyelidik MIT tersebut sedang berusaha untuk mengedarkan sistem air bersih ini kepada komuniti lain yang memerlukannya.

Sumber : Science Alert, MIT News