Sistem Pintar Untuk Penjara Sedang Diuji Oleh PDRM

SMART-lokap

Pihak Polis Diraja Malaysia sedang menguji satu sistem pintar untuk membantu mereka menjaga lokap atau penjara di Malaysia dengan lebih efektif. Sistem yang dibangunkan bersama oleh MIMOS — syarikat penyelidikan ICT negara — dan PDRM ini menggunakan algoritma khas untuk menganalisa rakaman dari kamera yang dipasang di dalam sel, koridor dan sepanjang perimeter lokap. Algoritma khas oleh sistem yang diberi nama SMART (Teknologi Pemantauan-Sendiri Laporan Analisis) itu boleh mengesan tingkah laku banduan seperti memanjat, pergaduhan, cubaan membunuh diri dan vandalisma dan kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa. 

Sistem pintar ini sedang diuji oleh PDRM di dalam lokap Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur sejak beberapa bulan yang lalu. Penambah-baikan secara berterusan seperti penambahan ciri-ciri terbaru berdasarkan input oleh anggota PDRM masih lagi dilakukan. Jika berjaya, sistem pintar ini akan digunakan di 57 lokasi yang lain di seluruh negara.

Pihak MIMOS percaya bahawa dengan adanya sistem pintar sebegini, pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih cepat dan efektif terhadap apa-apa insiden tidak diingini yang berlaku di dalam kawasan tahanan mereka.

Sumber : The Star, Gov Insider