Pergi Kerja Naik Bas Atau Tren Untuk Elak Diabetes

Bukit_Bintang_monorail

Kereta? Bas? Tren? Basikal?

Apakah pilihan pengangkutan untuk pergi ke tempat kerja anda? Mengikut satu kajian terbaru oleh penyelidik dari Pusat Pemeriksaan Kesihatan Moriguchi City, Osaka di Jepun, menaiki bas atau tren ke tempat kerja dapat dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk menghidapi tekanan darah tinggi, diabetes dan berat badan berlebihan. Jika dibandingkan dengan pemandu kereta, pengguna pengangkutan awam adalah 27 peratus kurang berkemungkinan menghidapi tekanan darah tinggi, 34 peratus kurang berkemungkinan menghidapi diabetes dan 44 peratus kurang berkemungkinan mempunyai berat badan berlebihan.

Kajian ini menggunakan data soal selidik dari 6,000 orang dewasa yang datang ke Pusat Pemeriksaan Kesihatan Moriguchi City untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan. Soal selidik itu mengandungi soalan tentang aktiviti fizikal dan bagaimana mereka pergi ke tempat kerja.

Satu lagi info yang menarik tentang kajian ini adalah pengguna pengangkutan awam didapati lebih sihat berbanding yang berbasikal ke tempat kerja. Penyelidik kajian itu merasakan ini adalah kerana pengguna pengangkutan awam perlu berjalan lebih jauh untuk pergi ke dan dari stesen bas atau tren manakala yang berbasikal mungkin tidak mempunyai jalan yang panjang untuk ke tempat kerja dan pulang.

Penyelidik bagi kajian ini tidaklah mengatakan penggunaan pengangkutan awam adalah faktor secara langsung kepada kesihatan yang lebih baik, tetapi kajian ini dapat membuktikan bahawa walaupun hanya kecil, aktiviti fizikal harian boleh meningkatkan tahap kesihatan kita. Jadi, adakah anda akan mula menukar mod pengangkutan anda untuk tahap kesihatan yang lebih baik selepas ini?

Sumber : Science Alert, American Heart Association