Atmosfera Marikh Telah Ditarik Keluar Oleh Matahari

marikh-ion-escape
Lakaran artis tentang ribut solar yang melanda Marikh dan menarik keluar ion dari bahagian atas atmosfera Marikh. Kredit NASA/GSFC.

Berdasarkan kajian terbaru oleh NASA, mereka percaya bahawa Marikh mempunyai lautan yang dalam dan atmosfera yang mengandungi oksigen, hidrogen dan karbon dioksida pada sekitar 4.3 billion tahun yang lalu. Tapi, kenapa planet Marikh yang kita kenali sekarang tidak seperti yang digambarkan oleh penyelidik NASA itu pada berbilion tahun yang lalu? Angin solar adalah angkaranya. Angin solar yang di’tiup’ dari matahari pada kelajuan sekitar 1.6 juta km/jam telah menarik ion dari atmosfera Marikh sedikit demi sedikit — 100 gram sesaat — sehingga menjadi hampir kering seperti sekarang.

Penemuan ini adalah hasil penyelidikan oleh saintis NASA menggunakan pesawat MAVEN — Marikh, Atmosfera dan Evolusi Tak-menentu — yang telah mengorbit Marikh sejak tahun 2014. Pesawat pemantau itu pada tahun lepas telah berjaya melihat kesan langsung ribut solar pada atmosfera Marikh yang menunjukkan gas di bahagian atas atmosfera Marikh ditarik keluar ke angkasa dan mungkin juga hingga ke luar dari sistem solar kita. Angin solar yang mengandungi medan magnet boleh menjana medan elektrik yang memberi tenaga pada gas di atmosfera Marikh untuk ‘meletup’ ke arah luar Marikh.

Mungkin anda sedang berfikir sekarang, jika ia boleh berlaku kepada Marikh, kenapa tidak berlaku pada Bumi kita? Ini kerana kekuatan medan magnet yang hadir di sekitar planet kita mampu melindungi kita dari bahana angin solar. Penyejukan teras planet Marikh berbilion tahun yang lalu telah melemahkan medan magnet di sekitarnya dan sekaligus mendedahkan planet itu kepada angin solar dan medan magentnya tersendiri. Jadi, selagi teras bumi kita masih panas seperti sekarang, kita tidak perlu risau tentang ancaman angin solar.

Empat kertas kajian tentang penemuan ini telah diterbitkan di laman Science di sini, sini, sini dan sini.

Sumber : Science Alert, NASA