Satu Kawasan Perlombongan Di Australia Guna Lori Tanpa Pemandu Sepenuhnya

RioTinto_lori

Rio Tinto, sebuah syarikat perlombongan Australia telah mula menggunakan lori tanpa pemandu sepenuhnya di kawasan perlombongan bijih besinya di Pilbara, Australia. Lori-lori setinggi 7 meter itu boleh beroperasi tanpa henti — 24 jam sehari, 365 hari setahun — sekaligus meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan meningkatkan keselamatan.

Kesemua lori tanpa pemandu itu dikawal oleh pekerja mereka di Perth — pada jarak 1,200 km dari kawasan pelombongan. Ini dapat mengelakkan pekerja mereka dari berdepan dengan persekitaran pekerjaan yang bahaya, kepanasan melampau dan mengalami keletihan yang melampau. Projek yang bermula pada tiga tahun yang lepas ini telah pun selesai dengan jumlah 69 buah lori yang digunakan pada kawasan perlombongan tersebut sekarang. “Armada kenderaan autonomi (tanpa pemandu) kami mengatasi pencapaian armada kenderaan berpemandu pada purata 12 peratus, terutamanya dengan cara menghapuskan waktu rehat yang diperlukan, ketidak-hadiran dan pertukaran shift,” kata Andrew Harding, CEO syarikat perlombongan tersebut.

RioTinto_lori2

Walaupun teknologi ini mengambil pekerjaan pemandu yang selalunya dilakukan oleh manusia, pekerjaan lain seperti pembangunan teknologi dan analisa data telah dicipta, mengikut kata Carla Boehl dari sekolah perlombongan Universiti Curtin pada Business Insider.

Sumber : Business Insider, Science Alert