Nyawa Siapa Yang Kereta Tanpa Pemandu Perlu Selamatkan?

senario-etika-driverless
Majoriti mahu nyawa yang lebih ramai yang patut didahulukan. Kredit Toulouse School of Economics.

Komputer atau Kecerdikan Buatan (Aritificial Intelligence) mungkin bijak dalam kerja pengiraan dan kerja lain yang diprogramkan oleh pembuatnya. Tetapi bagaimana pula dengan keputusannya dalam persoalan etika? Contohnya seperti dalam situasi pada gambar di atas; patutkah kereta tanpa pemandu itu langgar seorang di tepi jalan untuk menyelamatkan sepuluh orang di tengah jalan?; korbankan penumpangnya di dalam kereta untuk selamatkan seorang di tengah jalan?; korbankan penumpangnya untuk selamatkan sepuluh orang di tengah jalan?

Penyelidik dari Toulouse School of Economics di Perancis telah membuat kaji selidik atas talian mengenai persoalan di atas. Peserta diminta menjawab bagaimana mereka rasa kereta tanpa pemandu patut diprogramkan berdasarkan senario seperti gambar di atas itu. Seramai 913 peserta dari pelbagai lokasi di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam kaji selidik itu.

Penyelidik mendapati bahawa lebih dari 75 peratus menyokong korbankan diri sendiri (penumpang dalam kereta tanpa pemandu itu) untuk menyelamatkan 10 orang, dan lebih kurang 50 peratus menyokong korbakan diri sendiri untuk selamatkan hanya seorang. Walau bagaimanapun, kebanyakan peserta merasakan bahawa kereta tanpa pemandu yang sebenar nanti akan diprogamkan untuk menyelamatkan penumpangnya walau dalam apa situasi.

Bagaimana kereta tanpa pemandu akan diprogramkan dalam situasi sebegitu nanti mungkin akan dibincangkan dengan lebih mendalam oleh pelbagai pihak dari pihak industri sehinggalah ke pihak berkuasa. Penulis rasa mungkin pengeluar akan terpaksa membuat program yang berbeza untuk negara yang berbeza berdasarkan undang-undang negara masing-masing.

Anda pula, nyawa orang lain atau nyawa anda?

Sumber : PopSci, Phys.org, arXiv.org