Kajian Menunjukkan Jenis Seluar Dalam Pengaruhi Kualiti Sperma

1024px-Sperm_stained

Dalam usaha untuk mendapatkan anak, kualiti sperma di dalam air mani lelaki adalah antara satu elemen yang penting. Berdasarkan satu kajian terbaru yang dijalankan, lelaki yang memakai seluar dalam longgar seperti ‘boxer‘ di siang hari dan tidak memakai apa-apa seluar dalam semasa tidur mempunyai kualiti sperma yang lebih baik berbanding lelaki yang memakai jenis seluar dalam yang ketat seperti ‘spender‘.

Kajian oleh saintis dari Universiti Standford serta Institut Kesihatan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan Amerika Syarikat yang melibatkan 501 lelaki dalam jangka masa setahun itu, memantau pilihan jenis seluar dalam dan kualiti sperma masing-masing. Para penyelidik mendapati bahawa lelaki yang tidur tanpa seluar dalam dan memakai seluar dalam yang longgar di siang hari mempunyai 25% lebih rendah kerosakan DNA di dalam sperma mereka berbanding yang lain.

“Kita telah lama tahu bahawa lelaki yang mempunyai suhu yang tinggi pada testis mereka, sama ada melalui pendedahan haba di tempat kerja atau memakai seluar dalam yang ketat, mempunyai kualiti air mani yang lebih rendah berbanding lelaki yang mempunyai testis yang lebih sejuk. Apa yang tidak pernah ditunjukkan dengan sempurna sebelum ini adalah sama ada lelaki boleh memperbaiki keadaan (kualiti air mani yang rendah) dengan menukar pilihan seluar dalam mereka, tapi kajian ini — walaupun agak kecil (jumlah lelaki yang diuji) — menunjukkan ianya (kualiti sperma yang lebih baik dengan seluar dalam longgar) adalah agak betul,” kata Allan Pacey, pakar kesuburan lelaki di Universiti Sheffield, UK yang tidak terlibat dengan kajian itu.

Walau bagaimanapun, kajian ini belum lagi membuktikan bahawa pilihan jenis seluar dalam yang dipakai oleh seseorang lelaki mempengaruhi kadar kejayaannya mendapatkan anak. Pada pendapat penulis, bagi lelaki yang sedang mencuba itu, mungkin idea yang baik untuk menukar pilihan seluar dalam ke jenis ‘boxer‘ pada siang hari dan tidak memakai apa-apa seluar dalam semasa tidur. Senang saja rasa perubahan itu bagi yang belum amalkannya.

Sumber : Science Alert, Daily Mail