Kamera Ini Boleh Lihat Di Sebalik Dinding

MIT-MicrowaveCamera
(D), (E) dan (F) adalah hasil imej gelombang mikro tanpa halangan (A), melalui dinding plaster (B) dan melalui dinding kayu (C). Kredit Camera Culture Group/MIT Media Lab.

Tajuk artikel ini mungkin berbunyi seperti fiksyen sains. Tetapi saintis di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat telah berjaya membangunkan kamera yang menggunakan gelombang mikro untuk menghasilkan imej dalam bentuk 3D bagi objek di sebalik dinding. Dalam membangunkan kamera gelombang mikro ini, mereka menggunakan konsep seperti kamera biasa dengan menggunakan pemantul pasif sebagain ‘lensa’ kamera ini untuk memfokuskan gelombang mikro pada arah yang disasarkan. Dengan pengiraan menggunakan komputer bagi masa yang diambil oleh gelombang mikro tersebut untuk pantul pada suatu objek dan kembali ke kamera, objek 3D di sebalik dinding itu dapat ‘dilihat’ oleh kamera tersebut.

Jika anda lihat video Youtube di atas, anda akan perasan bahawa patung manusia yang digunakan telah dibalut dengan pembalut aluminium. Ini kerana, pembalut aluminium boleh memantul gelombang mikro pada frekuensi yang lebih kurang sama seperti badan manusia yang sebenar. Hasil ‘imej’ gelombang mikro yang dapat dilihat adalah lebih kurang sama apabila dibandingkan dengan adanya dinding plaster atau kayu di depan patung tesebut dan tanpa apa-apa dinding di depan patung.

Saiz prototaip kamera ini sekarang adalah agak besar dengan pemantulnya sahaja mencapai panjang satu meter. Proses keseluruhan untuk menghasilkan imej menggunakan kamera ini pula adalah sehingga satu jam. Mereka ingin mengecilkan lagi kamera ini ke saiz lebih kurang 10 inci x 10 inci dengan mengurangkan saiz jarak gelombang yang digunakan sebagai salah satu langkahnya. Para saintis MIT ini merasakan bahawa kamera ini pada masa depan boleh digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat dengan membantu petugas seperti ahli bomba mencari mangsa yang mungkin terperangkap di sebalik dinding atau runtuhan.

Sumber : IEEE Spectrum, MIT Media Lab, Nature