Gigi Palsu Cetakan 3D Dengan Bahan Anti-Bakteria

gigi-3dprint

Gigi palsu selalunya memerlukan masa hingga 2 minggu untuk menempahnya. Tetapi dengan hasil ciptaan terbaru oleh Andreas Herrmann dan rakannya dari Universiti Groningen di Belanda, anda hanya perlu menunggu beberapa jam sahaja untuk mendapatkan gigi palsu anda melalui teknik cetakan 3D. Bukan saja itu, bahan yang digunakan untuk gigi palsu cetakan 3D ini adalah anti-bakteria.

Saintis tersebut mencampurkan garam ammonium anti-mikrobial dengan bahan gigi palsu yang digunakan sekarang. Garam tersebut yang bercas positif akan mengganggu membran bakteria yang bercas negatif lalu menyebabkan bakteria tersebut pecah dan mati. Untuk menguji keberkesanan bahan ini, mereka menyalut sampel bahan itu dengan campuran air liur dan bakteria yang menyebabkan kerosakan gigi selama enam hari. Hasil ujian menunjukkan 99% bakteria tersebut berjaya dibunuh berbanding dengan hanya 1% bakteria yang dapat dibunuh oleh sampel kawalan yang tidak dicampur dengan garam khas tersebut. “Bahan ini boleh membunuh bakteria melalui sentuhan, tetapi dalam masa yang sama tidak merbahaya kepada sel manusia,” kata Herrmann.

Ujian seterusnya seperti kesesuaian bahan ini dengan ubat gigi dan kekuatannya sebagai penggunaan gigi secara praktikal perlu dijalankan sebelum disahkan boleh digunakan oleh manusia. “Ia adalah produk perubatan yang dijangkakan dapat diaplikasikan dengan lebih cepat di masa hadapan berbanding penghasilan ubat-ubat baru,” kata Herrmann lagi.

Sumber : New ScientistAdvanced Functional Materials