5 Fakta Dari Laporan Rasmi Siasatan Nahas MH17

mh17

Tahun 2014 adalah tahun yang sangat gelap buat syarikat penerbangan negara, MAS. Nahas pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 di ruang udara Ukraine adalah kejadian nahas pesawat mereka yang kedua pada tahun itu. Laporan rasmi penuh penyiasatan terhadap nahas pesawat MH17 telah dikeluarkan pada 13 Oktober 2015. Video rasmi sepanjang 20 minit juga telah dimuat naik di laman Youtube sebagai penerangan ringkas tentang laporan rasmi penuh siasatan nahas itu. Berikut adalah 5 fakta pilihan penulis berdasarkan video Youtube tersebut;

  1. Siasatan

Siasatan bagi nahas MH17 yang dijalankan berdasarkan piawaian dan cadangan yang ditetapkan oleh Organisasi Penerbangan Awan Antarabangsa (ICAO) diketuai oleh Belanda bersama enam negara yang lain;

i. Ukraine

ii. Malaysia

iii. Amerika Syarikat

iv. United Kingdom

v. Australia

vi. Russia

  1. Keadaan pesawat

Pesawat MH17 didapati berada di dalam keadaan yang baik tanpa apa-apa kerosakan sistem atau amaran yang direkodkan. Pihak penyiasat juga tidak menjumpai apa-apa perkara yang luar dari kebiasaan mengenai anak-anak kapal. Sepanjang perjalanan dari waktu berlepas sehingga waktu kedua-dua perakam di dalam pesawat berhenti secara tiba-tiba, tiada mesej atau isyarat kecemasan yang diterima oleh mana-mana pengawal trafik udara berdekatan dengan pesawat MH17.

  1. Kawasan ruang udara kejadian nahas

Pesawat MAS MH17 berlepas dari Belanda melalui ruang udara Jerman, Poland dan Ukraine menghala ke timur — laluan penerbangan biasa yang digunakan oleh kebanyakan syarikat penerbangan yang lain. Pada 14 Julai 2014, pihak berkuasa Ukraine telah mengeluarkan sekatan penerbangan bagi penerbangan awam di ruang udaranya sehingga ketinggian altitud 32,000 kaki (bersamaan dengan 10.1 km dari darat). Pesawat MH17 didapati terbang pada ketinggian altitud 33,000 kaki semasa nahas berlaku.

ruang-udara-mh17
Rakaman skrin video Youtube ini menunjukkan kawasan ruang udara yang dilalui oleh pesawat MH17. Kawasan berwarna ungu adalah kawasan larangan penerbangan awam sehingga FL320 (ketinggian altitud 32,000 kaki). Kredit Dutch Safety Board.

Sebanyak 160 pesawat awam yang lain direkodkan telah terbang pada hari kejadian — 17 Julai 2014, di ruang udara berkenaan sebelum ruang udara itu ditutup sepenuhnya oleh pihak berkuasa Ukraine kerana kejadian nahas tersebut. Dilaporkan juga ada tiga pesawat sedang terbang di kawasan yang berhampiran dengan pesawat MH17 di waktu pesawat itu hilang dari radar.

  1. Ditembak jatuh di udara

Pihak penyiasat mendapati bahawa pesawat MH17 ditembusi oleh ratusan objek bertenaga tinggi berbentuk kiub dan bow-tie hasil letupan kepala peledak (warhead) jenis 9M314M di bahagian depan pesawat. Kepala peledak dari peluru berpandu jenis 9M38 ini meletup berdekatan dengan sebelah kiri kokpit pesawat lalu melepaskan ratusan objek-objek tersebut.

1-letupan_misil_mh17
GIF di atas menunjukkan animasi lokasi letupan kepala peledak pada kurang dari 1 meter di sebelah kiri atas kokpit. Kredit Dutch Safety Board.

Banyak serpihan yang dijumpai di dalam badan krew penerbangan yang duduk di dalam kokpit. Sebahagian dari serpihan yang dijumpai itu berbentuk kiub dan bow-tie. Titik lokasi letupan pula dipastikan oleh pasukan penyiasat melalui simulasi komputer, corak lubang tembusan pada kokpit dan juga rakaman bunyi dari empat mikrofon di dalam kokpit. Mengikut laporan siasatan, setelah menyiasat beberapa senario yang lain, hanya senario ini yang padan dengan kombinasi bukti dan faktor yang dijumpai.

serpihan-kokpit-mh17
Antara sampel serpihan yang dijumpai di dalam kokpit pesawat MH17. Bentuk bow-tie (gambar serpihan kedua dari kiri) adalah bentuk yang unik bagi model kepala peledak ini. Kredit Dutch Safety Board.
  1. Lokasi pelancaran peluru berpandu
lokasi-lancaran-misil
Model peluru berpandu yang meletup berhampiran kokpit pesawat mengesahkan ianya dilancarkan dari BUK Surface-to-air Missile System. Kredit Dutch Safety Board.

Berdasarkan pengiraan oleh pihak penyiasat, kawasan kemungkinan peluru berpandu dilancarkan adalah seluas 320 km persegi di bahagian timur Ukraine. Walau bagaimanapun, penyelidikan forensik yang lebih mendalam diperlukan untuk memastikan lokasi yang lebih tepat peluru berpandu itu dilancarkan. Laporan menyatakan bahawa penyelidikan ini adalah di luar mandat Lembaga Keselamatan Belanda.

Sumber : Dutch Safety BoardYoutube