Tangan Palsu Robotik Iron Man Untuk Kanak-Kanak

openbionic-disney-hand

Kanak-kanak tangan kudung akan datang boleh bergaya dengan tangan palsu robotik bertemakan sama ada tangan Iron Man, sarung tangan Queen Elsa dari Frozen atau tangan diinspirasikan light saber dalam filem Star Wars. Ketiga-tiga model tangan palsu robotik ini dibangunkan bersama oleh Disney dan Open Bionics — syarikat startup dari UK yang sedang berusaha membangunkan tangan palsu robotik kos rendah. Disney bukan sahaja membantu dalam input kreatif untuk menghasilkan tangan palsu yang menarik ini, mereka juga telah mengecualikan tuntutan bayaran royalti untuk ketiga-tiga model tangan palsu ini. Tangan palsu robotik ini akan dijual pada harga lebih kurang 500 Dolar Amerika bermula pada tahun 2016.

handshake_disney_bionic

Tangan palsu robotik gred hospital yang ada sekarang boleh mencapai sehingga harga $100,000 — harga yang terlalu mahal bagi hampir semua yang memerlukannya. Open Bionic adalah salah satu syarikat startup yang ingin mengubah keadaan ini. Mereka sedang membangunkan tangan palsu robotik kos rendah yang tidak memerlukan apa-apa pembedahan untuk menggunakannya. Mereka hanya menggunakan otot yang ada pada tangan sebagai isyarat pergerakan tangan robotik mereka. Mereka juga menggunakan komponen yang diperbuat dari pencetak 3D (3D printer) supaya mudah ditambah baik mengikut pembesaran si pemakainya terutamanya kanak-kanak. Jika anda berminat dalam usaha ini, segala teknologi dan data untuk tangan palsu robotik mereka telah dikongsikan di laman The Open Hand Project untuk pembangunan bersama.

Sumber : Engadget, The Independent, Techspark