Kasut 3D Print Adidas, Kereta Hidrogen dan Gambar Menarik Yang Lain Minggu Ini

Corak Tusukan Peluru

Gambar yang telah memenangi petandingan gambar kejuruteraan tahunan Universiti Cambridge yang ditaja oleh ZEISS ini menunjukkan corak yang dihasilkan apabila peluru ditembak menembusi cecair kristal. Cecair kristal adalah bahan yang digunakan di dalam televisyen LCD. Ia adalah sejenis bahan yang mengalir dan berkelakuan seperti cecair, tetapi mempunyai struktur molekul seperti pepejal. Kredit Rachel Garsed.

Jetpek Untuk Padam Kebakaran

Dubai terkenal dengan bangunan pencakar langitnya. Bagaimana nak padam jika kebakaran di tingkat paling atas sekali? Jetpek adalah jawapannya -- menurut jabatan pertahanan awam Dubai. Mereka telah memesan 20 unit jetpek dari Martin Aircraft Company untuk tugas menyelamat dan memadam kebakaran mereka. Kredit Jabatan Pertahanan Awam Dubai.

Gelang Bintang Kerdil

Titik di tengah itu adalah bintang kerdil putih -- teras bintang yang hampir mati, dan 'gelang' berwarna merah di kelilingnya adalah sisa debu. Ini terhasil apabila sebuah asteroid yang bergerak terlalu hampir dengan bintang bersaiz bumi  dihancurkan oleh tarikan graviti bintang tersebut. Gambaran artis ini dihasilkan berdasarkan pemantauan ahli astronomi selama 12 tahun terhadap bintang kerdil itu. Kredit Mark Garlick and University of Warwick/ESO.

 

Dunia Melalui 'Mata' Kereta Tanpa-Pemandu

Beginilah bagaimana kereta autonomi (tanpa-pemandu) melihat dunia. Syarikat pengeluar kereta menggunakan teknologi LIDAR sebagai pengimbas untuk membangunkan teknologi kereta autonomi mereka. Gambar ini adalah sebahagian dari video yang dihasilkan oleh syarikat ScanLAB Projects menggunakan teknologi LIDAR mereka. Video itu diambil sambil memandu di sekitar bandar London. Kredit NYT Mag.

Belut Bercahaya

Belut bercahaya ini pertama kali dijumpai pada Januari 2011. Baru-baru ini sahaja saintis berjaya mengenal pasti protein yang menghasilkan cahaya tersebut. Protein bercahaya yang boleh didapati di dalam otot dan tisu kulit  belut bercahaya itu dipercayai berasal dari otak haiwan bertulang belakang yang hidup pada lebih dari 300 juta tahun yang lalu.

Planet Kerdil Terbaru Sistem Solar Kita

Selasa yang lepas, satu planet kerdil yang terjauh dalam sistem solar kita telah diumumkan. Ditemui pada akhir Oktober tahun ini, planet kerdil yang dinamakan V774104 ini bersaiz setengah dari saiz planet kerdil Pluto. Lokasinya adalah 9.5 billion batu dari matahari dan laluan orbitnya masih belum dikenal pasti. Kredit Scott Sheppard, Chad Trujillo and Dave Tholen: Subaru Telescope.

Awan UFO

Awal minggu ini, warga Cape Town di Afrika Selatan dikejutkan dengan beberapa UFO di ruang udara mereka. 'UFO' tersebut adalah sebenarnya awan lentikular -- awan statik yang terbentuk di kawasan altitud tinggi seperti berhampiran kawasan pergunungan. Apabila udara lembab stabil merentasi sebuah gunung atau banjaran gunung, gelombang statik berskala besar kadang-kala membentuk di arah bawah tiupan angin. Kondensasi udara lembab itu kadang-kala boleh menghasilkan bentuk seperti lensa di atas. Kredit gambar mijlof melalui Instagram.

Robot Pembersih Tanpa Henti

Robot ini berenang di permukaan air dari kuasa eletrik yang dijanakan oleh kekotoran di dalam air yang dilaluinya. Robot ini mempunyai sejenis mikrob yang menjana elektrik apabila ia menghadam bakteria. Jadi, selagi air yang direnangi robot ini kotor, robot ini sentiasa akan bergerak. Ciptaan bijak untuk proses pembersihan air sungai! Prototaip yang baru diperingkat pembuktian konsep ini akan dibangunkan lagi untuk penggunaan meluas di masa depan. Kredit Universiti Bristol dan Fast Company.

Warna-warni Pluto

Gambar berwarna-warni permukaan planet Pluto ini dihasilkan menggunakan teknik yang dipanggil analisa komponen utama untuk menyerlahkan perbezaan warna antara kawasan utama permukaan Pluto. Imej data ini ditangkap menggunakan kamera berwarna Ralph/MVIC dari pesawat New Horizon pada jarak 35,000 kilometer dari permukaan Pluto. Kredit NASA/JHUAPL/SwRI.

Peta Pengambilan Kalori Sedunia

Berapa banyak kalori yang anda ambil sehari dalam pemakanan anda? Syarikat pembekal rawatan penyalahgunaan dan ketagihan dadah, Recovery Brands telah menghasilkan peta pegambilan kalori seharian dunia. Peta ini dihasilkan dari data oleh OECD dari tahun 2004 hingga 2013. Malaysia nampaknya masih lagi di dalam jumlah terkawal menurut peta ini. Kredit Recovery Brands.