Pluto Berlangit Biru Dan Ada Ais Merah Di Permukaanya

blue_skies_on_pluto
Lapisan jerebu Pluto yang kelihatan berwarna biru dari angkasa. Kredit NASA/JHUAPL/SwRI.

Hasil kajian terbaru pasukan New Horizon mendapati bahawa langit planet kerdil Pluto kelihatan biru dari angkasa dan terdapat ais yang berwarna merah di atas permukaan planet tersebut. Seperti gambar di atas, langit Pluto kelihatan berwarna biru apabila gambar ditangkap berlatar belakangkan matahari oleh pesawat New Horizon milik NASA.

Walau bagaimanapun, jika anda melihat langit itu dari permukaan Pluto, langit tersebut akan kelihatan kelabu kemerahan. Berdasarkan laporan di Mashable, langit akan hanya kelihatan biru dari permukaan Pluto ketika waktu matahari terbit dan terbenam. Langit biru yang dapat dilihat di Pluto adalah sebenarnya jerebu mengikut kata NASA.

“Warna biru yang jelas itu memberitahu kita tentang saiz dan komposisi zarah jerebu. Langit biru selalunya adalah hasil dari penyebaran cahaya matahari oleh zarah-zarah yang sangat kecil. Di bumi, zarah-zarah tersebut adalah molekul nitrogen yang sangat halus. Di Pluto, ianya (zarah) lebih besar — tapi masih agak kecil — zarah seperti jelaga yang kita panggil tholins,” kata Carly Howett dari NASA di dalam satu kenyataan. Tholin ini adalah molekul organik yang mungkin terhasil di atmosfera Pluto dimana radiasi dari cahaya matahari meleraikan nitrogen dan metana di atmosfera ke zarah yang lebih kecil.

context_map3-final
Peta yang menunjukkan lokasi kehadiran ais di atas permukaan Pluto. Biru mewakili ais di dalam gambar ini. Kredit NASA/JHUAPL/SwRI.

Satu lagi penemuan yang menarik adalah ais yang dikesan di permukaan Pluto nampak berwarna merah berdasarkan peta berwarna yang dihasilkan oleh pesawat New Horizon. “Kami terkejut bahawa air ini (di permukaan Pluto) adalah sangat merah. Kami masih lagi tidak memahami kaitan di antara air ais dan warna kemerahan tholin di atas permukaan Pluto,” kata Silvia Protopapa, satu lagi ahli kumpulan New Horizon.

Sumber : Mashable, NASA