Ujian Ini Boleh Kesan Semua Jenis Virus Yang Jangkiti Manusia

Ebola_Virus
Virus Ebola dari sampel darah di Mali. Kredit NIAID melalui Wikimedia Commons.

Untuk mengesan virus apa yang menjangkiti seseorang pesakit, ujian diagnostik yang ada sekarang selalunya tidak cukup sensitif untuk mengesan virus tersebut. Doktor perlu menggunakan ujian tertentu berdasarkan penyakit apa yang disyaki oleh doktor tersebut untuk mengesahkan virus yang menjangkiti pesakit. Mengikut kajian terbaru yang diterbitkan di Genome Research, satu jenis ujian yang dibangunkan oleh penyelidik di Universiti Washington, Amerika Syarikat boleh mengesan apa jua jenis virus yang menjangkiti manusia dan haiwan. Dengan ujian diagnostik yang dinamakan “ViroCap” ini, doktor tidak perlu mengetahui terlebih dahulu virus apa yang dicari menurut Gregory Storch, salah satu penyelidik dalam satu siaran akhbar.

Penyelidik menggunakan koleksi urutan unik DNA dan RNA dari semua kumpulan virus yang diketahui telah menjangkiti manusia dan haiwan — dengan jumlah sehingga 2 juta, untuk membangunkan ujian diagnostik ini. Mereka telah melakukan ujian peringkat awal untuk ujian diagnostik ini pada dua kumpulan kanak-kanak di Hospital Kanak-kanak St. Louis. Hasilnya menunjukkan sebanyak 52 peratus peningkatan dalam jumlah virus yang dikesan berbanding kaedah yang ada sekarang.

Ujian diagnostik ini bagaimanapun memerlukan beberapa tahun lagi untuk melalui pelbagai jenis penyelidikan bagi mengesahkan ketepatannya sebelum boleh digunakan dalam kegunaan klinikal. Penyelidik berharap dapat menggunakan teknik ini untuk mengesan wabak virus maut seperti Ebola dan SARS pada masa hadapan.

Sumber : PopSci, Universiti Washington