VIDEO : Robot Dengan Kulit Lembut Seperti Baymax

disney-robot-skin

Ingat Baymax?

Watak robot yang comel dalam filem Disney Big Hero 6 itu mempunyai kulit luaran yang lembut. Kulit lembut robot itu sesuai dengan fungsi utamanya iaitu penjagaan kesihatan manusia kerana sentuhannya pada pesakit akan menjadi lembut dan tidak ada objek tajam padanya yang boleh mencederakan pesakitnya. Disney Research baru-baru ini telah menghasilkan kulit lembut melalui teknik 3D print untuk menyembunyikan komponen tangan robot yang keras di dalamnya.

Seperti Baymax, kulit lembut di luaran tangan robot itu dapat memastikan kedua-dua robot dan objek yang dipegang selamat. Di sebalik kulit lembut itu pula terdapat rongga kedap udara yang boleh mengesan tekanan. Apabila bersambung pada sistem robotik yang mempunyai pengawal suap-balik (feedback) tekanan, tangan robot mereka mampu mengangkat objek selembut blok tauhu tanpa memecahkannya. 

Dalam kertas kajian mereka, ada disebut tentang penggunaan hasil kajian ini untuk penyelidikan robot yang bergerak seperti watak animasi. Mungkin robot Baymax akan menjadi kenyataan (sekurang-kurangnya dalam bentuk permainan) satu hari nanti?

Sumber: Engadget, Disney Research