Konsep Halimunan Untuk Tingkatkan Kecekapan Panel Solar

solar-halimunan-KIT
Kaedah alur pada jejari besi untuk membuatkan jejari besi tersebut menjadi ‘halimunan’. Kredit KIT.

Tahukah anda bahawa teknologi panel solar yang ada sekarang hanya mampu menukarkan 20% dari tenaga cahaya matahari kepada tenaga elektrik?

Salah satu faktor mengapa kecekapan teknologi panel solar serendah begitu adalah sepuluh peratus dari panel solar selalunya dilindungi dari cahaya oleh jejari besi (untuk meningkatkan konduksi pada panel solar). Sekumpulan penyelidik dari Institut Teknologi Karlsruhe (KIT) di Jerman ingin menggunakan konsep halimunan sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Konsep halimunan di sini bukan bermaksud kita tidak lagi akan nampak jejari besi di atas panel solar itu, tetapi ia adalah konsep dimana cahaya yang terpancar ke permukaan jejari besi itu akan diarahkan semula ke panel solar melalui beberapa teknik fizik yang kompleks.

Mereka pada masa ini sedang mengkaji dua kaedah untuk mencapai konsep halimunan ini. Kaedah pertamanya adalah dengan membalut jejari itu dengan sejenis lapisan polimer yang ditalakan (tune) dengan indek pembiasan yang tertentu. Kaedah kedua pula adalah dengan menggoreskan alur pada jejari itu sendiri untuk membiaskan cahaya ke solar panel disekitarnya. Simulasi melalui model komputer menggunakan kedua-dua kaedah ini menunjukkan peningkatan sepuluh peratus kecekapan menukarkan tenaga cahaya ke tenaga elektrik berbanding biasa.

Sedikit demi sedikit, panel solar mungkin boleh menjadi sumber tenaga elektrik utama satu hari nanti. Penyelesaian yang lebih mesra alam!

Sumber : Endgadget, KIT