NASA Sahkan Adanya Air Dalam Bentuk Cecair Di Marikh

mars-lineae-slopes-hale-crater
Kredit NASA/JPL-Caltech/Univ. of Arizona

NASA menggelarnya sebagai jawapan kepada misteri besar planet Marikh. Berdasarkan data spektrum terbaru yang dikumpul oleh pesawat Mars Reconnaisance Orbiter (MRO), NASA mengesahkan kehadiran air masin dalam bentuk cecair yang mengalir di permukaan planet Marikh. MRO adalah pesawat milik NASA yang mengorbit Marikh untuk tujuan penyelidikan tentang planet itu. Kehadiran cecair air yang mengalir bermakna terdapat peluang yang lebih cerah untuk Marikh dapat menyokong kehidupan pada waktu ini atau masa depan.

Mengikut kajian yang diterbitkan di Nature Geosciences itu, pesawat MRO itu telah menganalisis struktur jalur-jalur gelap yang muncul ketika musim yang lebih panas tetapi hilang pada musim yang lebih sejuk di Marikh. Hasil analisis tersebut mengesahkan jalur-jalur itu dibentuk oleh air masin yang mengalir ke bawah dari lembah dan dinding kawah di Marikh. Ia juga membuktikan bahawa air masih lagi mengalir pada hari ini dan bukannya sisa sesuatu yang berlaku pada masa lalu.

Kajian tentang kehadiran air sama ada dalam bentuk cecair, pepejal atau wap di Marikh telah lama dilakukan oleh para saintis sebelum ini. Mereka juga telah mengemukakan teori sejak beberapa tahun yang lalu bahawa terdapat lautan yang luas di Marikh pada lebih 4 bilion tahun yang lalu. Ketulan ais yang sangat besar di bawah permukaan Marikh juga telah ditemui oleh saintis baru-baru ini.

Perspective_6.0
Jalur-jalur sempit gelap yang dipanggil garisan cerun berulang ini berpunca daripada dinding kawah Garni di Marikh. Kredit NASA/JPL/University of Arizona.

Jalur-jalur yang dikaji itu telah di perhatikan oleh pesawat MRO sejak tahun 2010 lagi. Jalur-jalur yang kehitaman dan mempunyai kelebaran kurang dari 16 kaki itu akan kelihatan lebih tebal dan panjang pada musim panas, dan pudar dan mengecut apabila musim sejuk. Spektrometer inframerah dari pesawat MRO boleh menentukan komposisi mineral dengan memerhatikan perbezaan panjang gelombang cahaya pada mineral tersebut. Apabila menggunakan spektrometer inframerah pada jalur-jalur itu tadi, mereka mendapati bahawa jalur gelap itu sememangnya terdiri daripada garam terhidrat yang mempunyai molekul air di dalam struktur kristalnya.

Dengan hasil penemuan terbaru ini, apabila manusia berjaya mendarat di Marikh pada satu hari nanti, mereka mungkin boleh menggunakan air yang tersembunyi untuk menyokong kehidupan mereka dan menanam makanan. Jika para saintis boleh dapat tahu di mana air itu disimpan atau dibentuk, kawasan-kawasan itu boleh menjadi calon utama untuk mendarat pada misi bermanusia yang pertama untuk Marikh.

Sumber : The Verge, Science Alert, NASA