Pergunungan Pluto Dan 9 Gambar Lain Menarik Minggu Ini

ABC Dari Angkasa

Penulis sains NASA di laman NASA Earth Observatory telah mengumpul gambar-gambar bumi dari satelit yang menyerupai huruf-huruf dari A hinggalah ke Z. Gambar atas adalah gabungan gambar yang menyerupai A, B dan C. Anda boleh lihat kesemua koleksi gambar itu di pautan ini.

Sotong Gergasi di Jepun

Sotong gergasi sepanjang 4 meter yang berwarna merah telah dijumpai oleh nelayan di bandar Toyama, pantai barat laut Jepun. Sotong itu telah pun kembali ke laut dalam setelah dibimbing oleh seorang penyelam. "Penyedutnya sangatlah kuat sehingga saya boleh terasa sedikit kesakitan. Walaupun saya (sebenarnya) sedang cuba membantunya melarikan diri (dari pelabuhan), ia memeluk badan saya dan memegang kuat lengan saya," kata Akinobu Kimura, penyelam yang membantu sotong gergasi itu.

Bintang Baru Dijumpai oleh Ahli Astronomi Amatur

Pada hari Krismas baru-baru ini, Emmanuel Conseil, seorang ahli astronomi amatur telah terjumpa satu bintang baru atau 'nova' melalui Sloosh, laman teleskop pemerhati angkasa atas talian. Nova yang dijumpai itu terletak di galaxy Triangulum - 2.7 juta tahun cahaya dari Bumi. Nova adalah satu fenomena letupan nuklear apabila bintang kerdil putih 'mencuri' bahan seperti Hidrogen dari bintang berhampiran. Kredit Emmanuel Conseil melalui Sloosh.

Rekod 'Demon Star' Di Dalam Dokumen Mesir Purba

Saintis dari Finland yang mengkaji dokumen kertas papirus yang berusia 3,200 tahun dari zaman Mesir purba menjumpai rekod tentang bintang boleh-ubah Algol - atau nama lainnya Demon Star. Bintang boleh-ubah adalah bintang yang mempunyai kadar kecerahan yang berubah-ubah seperti yang dilihat dari Bumi. Saintis itu mendapati bahawa sistem kalendar masyarakat zaman Mesir Purba itu juga dipengaruhi oleh kadar kecerahan boleh-ubah bintang Algol itu. Kredit PLOS One.

Robot Keldai Tentera Marin AS Terlalu Bising Untuk Peperangan

LS3 (Sistem Pembantu Skuad Berkaki), adalah robot berkaki empat yang dibangunkan oleh syarikat Boston Dynamics untuk DARPA (badan penyelidikan ketenteraan AS). Robot 'keldai' itu dibangunkan untuk membantu tentera mengangkut kelengkapan perang yang berat di dalam peperangan -- LS3 mampu mengangkut barang sehingga berat sekitar 180 kilogram. Tetapi masalahnya, robot ini terlalu bising, satu ciri yang sangat bahaya kerana boleh mendedahkan lokasi kepada musuh dari bunyi robot itu. Anda boleh mendengar bunyi robot itu sendiri melalui video Youtube ini. Kredit Sarah Dietz, U.S. Marine Corps, via Wikimedia Commons.

Kutub Selatan Ceres

Ceres adalah merupakan objek terbesar di dalam gelang asteroid di antara planet Marikh dan Musytari. Gambar ini menunjukkan bayangan di atas permukaan kutub selatan Ceres. Matahari berada pada sudut 4 darjah ke utara dari garisan khatulistiwanya semasa gambar ini diambil. Gambar ini diambil pada jarak sekitar 385 kilometer dari Ceres di atas pesawat DAWN milik NASA yang mengorbit Ceres.

Logam Yang Lebih Ringan Dan Kuat

Saintis dari UCLA di Amerika Syarikat telah berjaya menyuntik partikel silikon karbaid bersaiz nano ke dalam besi magnezium atau zink yang cair. Silikon karbaid adalah bahan ultra-keras yang digunakan di dalam klac kereta dan brek karbon seramik. Campuran silikon karbaid bersaiz nano ke dalam logam magnesium yang memang sudahpun ringan dapat menghasilkan logam yang lebih ringan, tetapi lebih kuat dan juga sangat stabil di suhu yang tinggi. Aplikasi ini di masa depan boleh digunakan untuk menghasilkan kereta atau pesawat yang lebih kuat dan ringan, sebagai contoh. Gambar di atas adalah perbandingan di antara logam tulen (kiri) dan magnesium dicampurkan dengan silikon karbaid. Kredit UCLA Scifacturing Laboratory.

Cengkerang Purba Gergasi di Argentina

Satu cengkerang besar yang dipercayai adalah fosil kepada glyptodont -- seekor armadillo gergasi zaman pra-sejarah telah dijumpai di tebing sungai di Argentina pada 29 Disember yang lalu. Haiwan ini dipercayai hidup di kawasan Amerika Selatan selama berpuluhan juta tahun dan telah pun pupus pada ribuan tahun yang lalu.