Robot, Si Pemungut Sampah

volvo-roar

Bayangkan, dunia di mana robot datang ke kawasan perumahan anda, angkat tong sampah di depan setiap rumah dan buangnya ke dalam lori sampah. Semuanya dilakukan dengan senyap tanpa mengganggu keluarga-keluarga yang sedang tidur lena dan tanpa pemandu lori melakukan apa-apa kerja selain memandu lori sampahnya. Itulah dunia yang dibayangkan di dalam visi Volvo untuk projek terbaru mereka bernama ROAR, di mana robot sebagai pembantu kepada lori sampah akan dibangunkan.

ROAR, atau Robot-based Autonomous Refuse handling (Pengendali Sisa Buangan Berasaskan Robot) adalah projek bersama Kumpulan Volvo dengan Renova – syarikat kitar semula di Sweden, Universiti Teknologi Chalmers dan Universiti Mälardalen di Sweden dan Universiti Penn State di Amerika Syarikat. Dalam kerja usaha sama ini, robot tersebut akan direka cipta dan dibina oleh Universiti Mälardalen, sistem kawalan bagi robot tersebut oleh Universiti Teknologi Chalmer dan Universiti Penn State pula akan membangunkan grafik, sistem komunikasi dan panel kawalan (control panel) untuk lori sampah tersebut.

Bila robot ini akan mula memungut dan membuang sampah ke dalam lori sampah milik syarikat Renova? Jun 2016 adalah tarikh sasaran mereka.

Memandangkan robot-robot yang berjaya dihasilkan sekarang tidak terkenal dengan kestabilan mereka (lihat video kompilasi robot jatuh di Cabaran Robotik DARPA), bolehkah pasukan ini dapat menghasilkan robot sebegitu dalam masa kurang dari setahun?

Sumber : PopSci, BusinessWire