Angkasawan Di Angkasa Mengawal Rover Di Muka Bumi

Rover_approaching_task_board
Rover menghampiri papan kerja (kredit ESA_

Anda diarahkan untuk memasukkan silinder besi ke dalam lubang. Bunyinya mudah bukan? Bagaimana jika anda perlu mengawal robot untuk melakukan tugas itu? Andreas Mogensen, angkasawan Agensi Angkasa Eropah (ESA) baru-baru ini mengawal rover (robot pengembara) yang berada di muka bumi untuk melakukan tugas itu – dia pula berada jarak 400km jauh ke atas, mengorbit bumi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Rover itu yang dibangunkan oleh ESA dengan kolaborasi bersama pelajar graduan dari Universiti Teknologi Deft, Belanda mempunyai sistem kawalan yang dilengkapi dengan ciri force-feedback (daya suap balik). Dengan ciri force-feedback pada sistem kawalan itu, segala halangan atau daya balas yang dirasai rover itu akan dapat dirasai Andreas pada joystick yang dikawalnya di ISS. Kelebihan ini memudahkan lagi Andreas mengawal rover itu untuk meletakkan silinder besi itu ke dalam lubang bulan yang mempunyai baki ruang (clearance) kurang dari satu per enam milimeter. Kedalaman yang perlu dimasukkan pula adalah 4 cm untuk mendapatkan sambungan elektrik. Walaupun terdapat perbezaan 1 saat di antara isyarat yang dihantar dari sistem kawalan di ISS dan isyarat yang diterima oleh rover tersebut, dengan menggunakan perisian istimewa yang dihasilkan mereka sendiri, tiada perbezaan yang ketara dapat dilihat di antara sistem kawalan dan pergerakan rover.

“Kami sangat gembira dengan hasil hari ini. Andreas berjaya menyudahkan dua (sesi) pemanduan, pendekatan dan memasukkan silinder ke dalam lubang, menunjukkan ketepatan force-feedback dari orbit buat kali pertama dalam sejarah penerbangan angkasa. Dia tidak pernah mengawal rover itu sebelum ini tapi (sistem) pengawal itu ternyata adalah sangat intuitif. Anderas mengambil masa 45 minit untuk sampai ke papan kerja (yang mempunyai lubang untuk dimasukkan) dan memasukkan silinder itu untuk cubaan pertama, dan kurang dari 10 minit untuk cubaan seterusnya, menunjukkannya sangat senang untuk dipelajari,” kata André Schiele, ketua eksperimen tersebut.

Eksperimen ini adalah langkah pertama ke arah pembangunan robot yang menyediakan pengendalinya dengan input sensor yang lebih meluas dari sedia ada. Pada masa hadapan, sistem sebegini boleh digunakan untuk mengawal rover di kawasan yang merbahaya seperti di kawasan runtuhan dan yang mempunyai radiasi tinggi atau juga di atas bulan dan planet lain.

Sumber : Engadget, ESA