Data Tentang Pluto Dari Pesawat New Horizon NASA Mula Dimuat Turun Sepenuhnya

Pluto
Gambar Pluto pada Julai lalu (kredit NASA)

Dilancarkan dari bumi pada 19 Januari 2006, pesawat New Horizon oleh NASA mendekati planet Musytari (Jupiter) untuk kajian saintifik dan bantuan lonjakan graviti (memberi kuasa tujah tambahan untuk ke Pluto) pada Februari 2007, menjalankan peninjauan lintas (flyby) planet kerdil Pluto dan bulan-bulannya selama 6 bulan dan dengan kemuncaknya berada di kedudukan terdekat dengan Pluto pada 14 Julai 2015. Proses memuat turun segala data kajian Pluto yang akan mengambil masa selama setahun pula telah dimulakan pada 5 September 2015 yang lalu.

Data dalam bentuk gambar terakhir yang dihantar oleh New Horizon ke bumi adalah pada akhir bulan Julai yang lalu. Semenjak itu, hanya data bersaiz kecil sahaja yang dihantar ke bumi. Lebih kurang 95 peratus data lagi yang tinggal untuk dipancarkan balik ke bumi.

nh-pluto-hazy-skies
Gambar Pluto berlatar belakangkan Matahari (kredit NASA)

Data yang dikatakan bersaiz berpuluh-puluh gigabyte itu akan dipancarkan ke bumi melalui gelombang radio dengan kelajuan 1 hingga 4 kilobyte sesaat. Mengikut kata NASA, isyarat yang dihantar dari New Horizon mengambil masa lebih kurang 4 jam setengah untuk merentasi angkasa sejauh 3 bilion batu sebelum sampai ke bumi.

nh-plutosurface
Gambar permukaan Pluto pada Julai lalu (kredit NASA)

“Inilah sebab kami datang (ke Pluto) – gambar-gambar, spektrum dan pelbagai jenis data yang lain ini yang akan membantu kami untuk memahami asal dan evolusi sistem Pluto buat kali pertamanya,” kata Alan Stern, Penyelidik Utama New Horizon dalam satu sidang akhbar. Bermula minggu ini, NASA akan menyiarkan gambar baru dari New Horizon pada setiap hari Jumaat.

Sumber : The Verge, NASA