Toyota Ingin Komputer Membantu Anda Memandu Dengan Selamat

image_1_-_prius

Kereta pandu-sendiri adalah satu bidang yang sedang pesat dibangunkan oleh kebanyakan syarikat-syarikat besar pengeluar kereta seperti BMW, Volvo dan Tesla. Walaubagaimanapun, Toyota mempunyai idea yang berbeza dengan masa depan pemanduan. Toyota ingin membangunkan sistem komputer yang lebih bijak untuk membantu anda memandu dengan lebih selamat.

Baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan kerjasama bersama Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Universiti Standord untuk membantu Toyota membangunkan sistem komputer kereta yang bijak dengan keselamatan sebagai faktor utamanya. Mengikut pengumuman tesebut, Toyota akan melaburkan 50 juta dolar Amerika dalam jangka masa 5 tahun untuk menubuhkan pusat penyelidikan bersama di setiap universiti tersebut. Dr Gill Pratt yang merupakan bekas pengurus di DARPA (Agensi Penyelidikan Pertahanan Amerka Syarikat) akan menyertai Toyota untuk mengetuai usaha terbaru ini.

Kedua-dua universiti ini mempunyai banyak pengalaman dalam bidang robotik dan Artificial Intelligence (kebijaksanaan buatan). Stanford Artificial Intelligence Laboratory (SAIL) adalah merupakan pasukan pertama yang memenangi cabaran kereta pandu-sendiri oleh DARPA pada tahun 2005. MIT pula ada lebih 20 professor dan lebih 100 pelajar graduan yang sedang bekerja di jabatan  Computer Science and Artificial Intelligence Laboratory (CSAIL) di MIT.

“Kami tidak hanya melihat pada orang-orang yang berjalan di atas jalan raya berhampiran kereta, tapi juga perkara yang mengalihkan perhatian pemandu, gajet yang kita guna dan cara dan punca pemandu melakukan perkara tertentu (semasa memandu),” kata Dr Fei-Fei Li dari Standord. “Kami akan menganalisis dan memahami tingkah laku ini,” tambahnya lagi.

Mengikut kata Rus dari MIT, mereka mahu membangunkan sistem bijak yang akan memantau pemanduan dan memberi bantuan kepada pemandu. “Ia tidak akan mengalihkan perhatian pemandu dengan melakukan sesuatu yang tidak dijangka – membuat pemandu memikirkan apa yang sedang berlaku. Tapi ia akan membantu jika pemandu memerlukan bantuan. Itulah ‘kereta pandu-sendiri’ yang dianggap terbaik oleh Toyota.”

Sumber : Endgadget, Toyota