NASA Mahu Pesawat Angkasanya Memancing Asteroid

hitchhiker20150901b.0

Comet Hitchhiker (menumpang komet) adalah satu konsep yang dibangunkan oleh NASA Jet Propulsion Laboratory (JPL) dimana pesawat angkasa akan menumpang asteroid (tahi bintang) dengan memancingnya dahulu untuk mendarat di atasnya. Menumpang asteroid boleh menjimatkan masa dan bahan api bagi pesawat angkasa untuk pergi ke destinasi yang jauh seperti ke planet-planet yang lain di dalam sistem solar kita. Asteroid yang ditumpang itu juga boleh dikaji dalam masa yang sama.

Asteroid adalah merupakan batu-batu besar yang bergerak sangat laju di angkasa lepas, iaitu 15 batu sesaat. Untuk mendarat di atas asteroid, pesawat perlu mengejarnya dahulu dengan kelajuan yang lebih laju dari asteroid sebelum perlahan untuk menyamai kelajuan asteroid tersebut setelah sampai ke asteroid yang ditujui. Saiz asteroid atau komet adalah kecil dan mempunyai daya tarikan graviti yang lemah. Jadi, pesawat angkasa perlu melalukan banyak kerja brek dan tujah untuk mengawal kedudukannya dan untuk mendarat. Kerja brek dan tujah ini memerlukan penggunaan banyak bahan api.

Konsep yang dibangunkan oleh NASA ini adalah seperti memancing. Apabila menghampiri sesebuah asteroid, pesawat angkasa itu akan menembak keluar serampangnya yang diikat dengan tali dan menambat asteroid tersebut. Tali tersebut kemudiannya akan dipanjangkan sedikit untuk mengurangkan tekanan pada tali itu dan mengelakkan dari tali itu putus. Setelah pesawat itu mempunyai kelajuan yang sama dengan asteroid yang ditambat itu, talinya akan dipendekkan sedikit demi sedikit untuk mendarat di atas asteroid tersebut.

Apa yang pasti adalah tali yang digunakan untuk aplikasi sebegini perlulah dibuat dari bahan yang sangat kuat supaya ianya tidak putus setelah menambat sesebuah asteroid. Bahan seperti Zylon dan Kevlar adalah calon bahan yang baik untuk tali itu. Jurutera NASA juga mempertimbangkan penggunaan tiub nano karbon untuk tali dan berlian untuk serampang. Panjang tali yang diperlukan pula adalah di antara 62 hingga ke 620 batu panjang untuk mendapatkan pergerakan (manouver) yang sepatutnya.

hitchhiker20150901

Comet Hitchiker adalah di dalam fasa pertama kajian melalui program NASA Innovative Advance Concept (NIAC). Langkah seterusnya adalah membuat banyak simulasi konsep ini dan mencuba memancing sasaran yang serupa dengan bahan yang dijumpai di atas komet atau asteroid.

Sumber : The Verge, NASA JPL