Immortus – Sportscar Pertama Dunia Dikuasai Tenaga Solar

immortus

Sebuah syarikat startup kereta elektrik dari Australia bernama EVX dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Teknologi Swinburne di Melbourne, Australia sedang membangunkan sportscar pertama di dunia yang dikuasai oleh tenaga solar. Walaupun kereta ini boleh juga dicaj tenaganya dari sumber elektrik di rumah, dengan bumbung yang dipenuhi panel solar, Immortus akan dapat dibekalkan dengan tenaga yang banyak untuk perjalanan panjang di jalan raya. Website EVX dengan bangganya menyatakan “Kebolehan untuk bergerak dengan kuasa matahari dan membekalkan tenaga tersebut untuk kegunaan lain masa menjadikannya sebagai kereta yang dapat bertahan tanpa batasan secara praktikalnya.” 

Universiti Teknologi Swinburne dipilih oleh EVX adalah kerana pengalaman dan kepakaran Universiti tersebut dalam penyelidikan tenaga solar dan teknologi kereta elektrik. “Tanpa pembiayaan kerajaan setakat ini, kami telah mencapai kemajuan yang besar dalam R&D dan semakin hampir untuk menjadikan cita-cita yang dibayangkan kami menjadi realiti,” kata Barry Nguyen, CEO dan pengasas bersama EVX di dalam satu kenyataan akhbar. Immortus dispesifikasikan boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam kurang dari 7 saat dan mempunyai kuasa gabungan bateri dan solar dengan jarak 550km pada kelajuan purata 85 km/j. Bergantung kepada keadaan cahaya matahari, secara teori, kereta ini dapat bergerak pada kelajuan melebihi 60 km/j tanpa henti dengan hanya kuasa solar.

Tapi hakikatnya pada masa ini, memandangkan masih lagi di peringkat konsep, semuanya hanyalah pada teori. EVX bagaimanapun sedang berusaha keras untuk mempamerkan kereta solar model skala kecil mereka di SEMA 2015, pameran kereta untuk peralatan khusus yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada bulan November.

Anda berminat? Hanya 100 unit kereta dijangka akan dihasilkan dengan harga jualan USD370,000. Jadi mulakanlah menabung dari sekarang!

Sumber : Science Alert