Rama-rama di Angkasa Hasil Tangkapan Teleskop Hubble

The Twin Jet Nebula

Siapa sangka, ada rama-rama di angkasa. Oh tidak, ini bukan serangga rama-rama, tapi imej Nebula menakjubkan hasil tangkapan teleskop Hubble. Nebula, menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4 bermaksud kepulan gas dan zarah yang kelihatan seperti tompokan cahaya yang kabur di langit pada waktu malam.

Nebula ini yang dinamakan Twin Jet Nebula atau nama lebih saintifiknya,  PN M2-9, adalah bukan seperti nebula biasa, ianya dikelaskan sebagai nebula bipolar kerana tidak seperti nebula planeteri biasa yang hanya ada satu bintang di pusatnya, nebula bipolar mempunyai dua bintang di dalam sistemnya. Saiz kedua-dua bintang ini dianggarkan lebih kurang saiz matahari di sistem solar planet bumi kita.

Bentuk menakjubkan yang dapat kita lihat ini terjadi kerana satu daripada dua bintang itu mengeluarkan jet gas manakala satu lagi bintang yang kini diperingkat akhir sebelum mati, menarik gas tersebut ke arah berlainan. Awanan gas yang terbentuk dari hasil tindak balas itu pula disinari oleh cahaya kedua-dua bintang tersebut.

Sumber : Hubble Space Telescope