Cip Intel Mungkin Dapat Selesaikan Misteri Kematian Lebah Sedunia

lebah-tag

Tahukah anda kadar kematian koloni-koloni lebah di seluruh dunia berada di tahap yang merisaukan? Disebabkan lebah bertanggungjawab sebagai agen pendebungaan kepada satu per tiga sumber makanan kita, harga sayuran dan buah-buahan boleh melonjak naik tanpa bantuan lebah-lebah ini. “Di sesetengah tempat di dunia, sekawan lebah yang sihat boleh bekerja seharian pada satu hari dan setiap ekor lebah mati pada hari seterusnya dan kami tidak ada idea kenapa,” kata Professor de Souza pada BBC.

Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini, penyelidik dari Organisasi Saintifik dan Industri Komanwel Australia (CSIRO) bekerjasama dengan Intel awal tahun ini untuk melengkapkan lebah-lebah yang sihat dengan “beg” RFID seberat satu per tiga berat lebah dengan bateri yang kuasanya boleh dijanakan dari getaran. Sistem berasaskan Intel Edison dapat memantau setiap 50 tag yang setiap satunya mengandungi prosessor Intel Atom, memori 1GB, muatan 5GB, dual-band WiFi dan Bluetooth. Sebanyak 10,000 lebah di Tasmania, Australia telah berjaya ditagkan dan kajian sekarang sedang dijalankan. Professor Paulo de Souza membandingkan ‘bag’ lebah tersebut sebagai ‘kotak hitam perakam penerbangan’ sebuah kapal terbang, di mana sistem itu dapat membantu mereka memantau dan mengkaji pendedahan lebah kepada racun serangga, pencemaran udara dan air, dan juga pemakanan dan cuaca persekitarannya. Oleh kerana lebah adalah spesies yang mudah diramal, perubahan sikapnya dapat menunjukkan faktor tekanan atau perubahan persekitarannya.

Australia adalah lokasi yang sesuai untuk kajian ini kerana lebah di negara ini masih belum terkesan oleh parasit yang digelar pepijat Varroa – yang telah membunuh banyak koloni di kawasan lain. Walaupun kajian tertumpu di Australia, penyelidik dari Brazil, Mexico, New Zealand dan UK turut menyertai Inisiatif Global untuk Lebah Madu Sihat oleh CSIRO sejak beberapa bulan lepas. Hasil kajian dijangkakan akan dikeluarkan tahun depan kepada komuniti saintifik sedunia.

 

Sumber : CSIRO