Angkasawan ISS Cuba Cara Baru Tapis Urin Jadi Air Minuman

Angkasawan

Air adalah sangat penting untuk kehidupan manusia termasuk angkasawan yang tinggal di angkasa. Menghantar air dari muka bumi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) adalah satu perkara yang sangat memeningkan kepala jurutera dan kosnya pula sangat tinggi.

Jadi, kitar semula air di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh angkasawan adalah satu perkara yang amat penting. Sistem kitar semula air yang ada di ISS sekarang adalah canggih dan teknologinya digunakan di atas bumi di kawasan-kawasan ketandusan air seperti di Afrika. Walaubagaimanapun, penapis utama sistem itu ada yang sampai berat 150kg untuk satu penapis dan mesti kerap diganti sebab selalu tersumbat dengan molekul-mokelul yang tak diingini.

Kit Aquaporin
Kit yang akan dibawa ke ISS (kredit Aquaporin Space Alliance)

Kerana ini, satu cara yang lebih efisen sedang dicuba oleh pihak Agensi Angkasa Eropah (ESA). Sistem tapisan oleh syarikat Denmark, Aquaporin Space Allaiance menggunakan sesuatu yang dipanggil AquaMembrane, menggunakan teknologi nano dan protein untuk menukar air sisa (air peluh dan urin) menjadi air yang bersih untuk diminum. Protein seperti yang menyelia air di dalam hidupan seperti buah pinggang manusia dan rebung buluh. Protein yang dipanggil Protein Aquaporin itu terletak di dalam membran dan apabila air melalui tiub-tiub kecil protein itu, satu caj elektrostatik akan menapis bahan seperti garam dan menghalangnya dari keluar. Hasilnya adalah air akan mengalir dengan lancar melalu membran tersebut tanpa tenaga tambahan, proses yang disebut sebagai forward osmosis. Disebabkan proses ini berlaku pada tahap molekul, penapis membran itu jarang akan tersumbat dan boleh digunakan lebih lama berbanding penapis yang diguna sekarang.

Angkasawan ESA, Andreas Mogensen akan membawa 3 set membran tersebut ke ISS dan membawa  pulang sampel yang dikumpul di sana bila kembali ke bumi untuk diuji. Thomas A. E. Andersen, CEO syarikat Denmark yang mengetuai projek penggunaan Aquaporin itu untuk angkasa berkata, “Kami melihat potensi yang besar untuk ISS dan misi ke Planet Marikh di masa hadapan untuk teknologi ini. Ianya adalah menakjubkan untuk membuat kajian di ISS yang boleh membantu angkasawan di angkasa lepas dan manusia di bumi ini”.

Sumber :  European Space Agency