Konsep Hyperloop Elon Musk Menghampiri Realiti?

Bayangkan Kuala Lumpur ke Singapura dalam masa kurang dari setengah jam. Mustahil? Dengan Hyperloop, ianya tidak mustahil! Asalkan ada pihak yang berjaya membawa konsep itu ke realiti.

Hyperloop; satu konsep yang diketengahkan oleh CEO SpaceX dan Tesla Motors Elon Musk di dalam kertas putih 57 muka surat pada Ogos 2013, adalah jaringan pengangkutan atas darat dalam bentuk tiub yang melangkaui ratusan kilometer. Dengan tekanan udara yang sangat rendah menghampiri tahap vakum di dalam tiub tersebut, kapsul berisi penumpang akan bergerak di dalam tiub itu dengan kelajuan hampir supersonik (kelajuan bunyi). Elon Musk yang tiada masa luang untuk membangunkannya sendiri menerbitkan kertas putih itu kepada umum dengan harapan ada pihak yang akan membangunkan konsep itu ke realiti.

Hyperloop Transportation Technologies (HTT), salah satu organisasi yang sedang membangunkan konsep Hyperloop ini telah menanda tangani perjanjian dengan Oerlikon syarikat Leybold Vacuum dan firma kejuruteraan Aecom. Buat masa ini, Hyperloop Transportation Technologies yang terdiri pakar-pakar dari firma terkemuka seperti Boeing dan NASA hanya membantu di waktu kelapangan mereka dengan peluang memiliki saham jika berjaya dikomersilkan. Oerlikon Leybold Vacuum mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam bidang vakum telah sebelum ini mengendalikan projek yang kompleks seperti Large Hadron Collider di CERN. Aecom pula berpengalaman membina landasan pengangkutan di atas darat mahupun di terowong bawah tanah di serata dunia.

Carl Brockmeyer, eksekutif Oerlikon memberitahu Wired bahawa sekumpulan 6 orang pekerja telah dibentuk untuk mula menyelidik jumlah tenaga diperlukan untuk menurunkan tekanan di dalam tiub Hyperloop menghampiri vakum dan berapa kos yang diperlukan. Dia juga berkata tenaga yang diperlukan mungkin adalah rendah dan mampu dijanakan oleh panel solar dan turbin angin yang dicadangkan untuk dibina oleh HTT. HTT bercadang untuk mula membina Hyperloop yang berfungsi pada awal tahun 2016 di Quay Valley, California.

Sumber Wired